KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mengambil peranan aktif dalam menangani krisis kemanusiaan rakyat Rohingya, selain memudahkan proses penghantaran pulang secara selamat dan bermaruah ke Arakan (negeri Rakhine) di Myanmar.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menggesa ASEAN bertindak pantas untuk memastikan kestabilan serantau dan memberikan bantuan kemanusiaan, kerana isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh.
Beliau berkata ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau, mempunyai kedudukan unik untuk menggalakkan penglibatan diplomatik dengan pihak berkuasa Myanmar, mempertanggungjawabkan mereka atas pelanggaran yang dilakukan, dan menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelarian Rohingya.
“MAPIM mencadangkan agar ASEAN segera menggerakkan dana, sumber dan kepakaran untuk menyokong operasi bantuan bagi pelarian Rohingya di Bangladesh, dan negara-negara lain yang menjadi tuan rumah kepada komuniti yang dipindahkan. Ini termasuk menyediakan makanan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan mental untuk meringankan penderitaan yang disebabkan oleh pemindahan.
“Kedua, ASEAN harus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Myanmar, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Bangladesh untuk membangunkan pelan penghantaran pulang yang selamat dan sukarela. Jaminan keselamatan dan keamanan bagi mereka yang pulang menjadi perkara utama. ASEAN harus bertindak sebagai pemudah cara untuk memastikan pelarian boleh pulang ke tanah asal mereka di Arakan dengan perlindungan hak asasi manusia sepenuhnya,” katanya.
Mohd Azmi berkata ASEAN perlu menggunakan saluran diplomatik untuk memastikan Rohingya mendapat kerakyatan penuh dan pengiktirafan undang-undang di bawah perlembagaan Myanmar.
Beliau berkata ketiadaan kewarganegaraan bagi Rohingya kekal sebagai isu utama dalam penderitaan mereka, dan ASEAN harus mendesak Myanmar untuk mematuhi konvensyen antarabangsa mengenai kewarganegaraan dan hak asasi manusia.
“ASEAN mesti mengetuai tanggungjawab dalam membangunkan rangka kerja serantau yang komprehensif, yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada penghantaran pulang tetapi juga menangani punca utama krisis seperti diskriminasi kaum, Islamofobia dan keganasan terhadap komuniti di Myanmar,” katanya.
Mohd Azmi berkata MAPIM turut menggesa pemimpin-pemimpin ASEAN untuk mengiktiraf krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Rohingya dan peranan yang boleh mereka mainkan dalam memudahkan keadilan serta perdamaian di Myanmar.
Beliau berkata ketika menangani isu politik dan ketenteraan dalaman Myanmar, nasib Rohingya tidak boleh terus diketepikan dalam perbincangan diplomatik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial