WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pakai Pakaian Istiadat Mirip Ketenteraan, Tujuh Individu Bakal Didakwa

31/01/2025 01:57 PM

SHAH ALAM, 31 Jan (Bernama) -- Tujuh individu termasuk ketua sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang tular memakai pakaian istiadat mirip ketenteraan ketika menghadiri satu majlis pada awal bulan ini akan didakwa dalam masa terdekat. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pertuduhan ke atas kesemua individu itu berdasarkan siasatan di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

“Sebanyak 40 individu telah dirakam keterangan berhubung kejadian itu dan 18 helai pakaian bersama lencana atau lambang serta aksesori pada pakaian berkenaan telah dirampas,” katanya di sidang media Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Hussein berkata hasil siasatan mendapati majlis berkenaan dianjurkan seorang individu daripada pertubuhan itu dan berlangsung di sebuah hotel di Sungai Buloh. 

Beliau berkata semakan turut mendapati pertubuhan tersebut berdaftar sebagai NGO kebajikan dan lambang atau lencana yang digunakan pada pakaian tidak sama seperti yang didaftarkan.   

“Aksesori yang dipakai ahli pertubuhan berkenaan juga hampir menyerupai aksesori pakaian beruniform. 

“Kita percaya mereka ini menjual pangkat kehormat dan pingat palsu kepada individu yang menyertai pertubuhan itu dan masih menyiasat berapa harga yang dikenakan bagi pembelian berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein menyeru agar mana-mana individu atau pertubuhan tidak menggunakan pakaian yang menyerupai pasukan beruniform atau apa-apa lambang, lencana serta aksesori yang boleh mencemarkan imej dan disalahgunakan untuk perkara tidak sepatutnya. 

Media pada 4 Jan lalu melaporkan, polis sedang mengesan beberapa individu yang tular mengenakan pakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat ketenteraan ketika menghadiri satu majlis dipercayai anjuran sebuah pertubuhan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan