WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JAIPk Diminta Siasat Khatib Tidak Baca Khutbah Jumaat Disediakan

01/02/2025 06:36 PM

IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diminta menyiasat tindakan seorang khatib di Parit Buntar yang didakwa membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata hal itu kerana ia menimbulkan keraguan dan ada sesuatu yang tidak kena mengenai tindakan khatib terbabit apabila tidak membacakan teks khutbah yang disediakan oleh JAIPk.

"Mungkin ada sesuatu yang tidak kena (there might be something wrong somewhere). Saya percaya JAIPk akan menyiasat dan ia bergantunglah kepada hasil siasatan sama ada perkara tersebut betul (berlaku) atau sebaliknya.

"Khutbah Jumaat ini bukan dibuat secara ad hoc, ia disediakan sebulan atau dua bulan lebih awal dan (isi kandungan) khutbah itu disediakan berasaskan kepada peristiwa (penting dalam sejarah umat Islam)," katanya.

Saarani berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat negeri yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Hanafiah Man di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sebelum ini, JAIPk menerusi hantaran di Facebook memaklumkan teks khutbah bertajuk 'Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki' disediakan berdasarkan peristiwa fitnah terhadap isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Aisyah.

JAIPk memaklumkan teks khutbah berkenaan yang dibacakan semalam tiada kena-mengena dengan mana-mana individu dan khutbah itu diolah berdasarkan peristiwa 'Al-Ifki' yang berlaku dalam bulan Syaaban.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Perak Muhammad Rif'aat Razman mempersoalkan pemilihan tajuk khutbah itu yang menurutnya seakan-akan menyinggung Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang juga bapanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan