Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Ketika tempoh perkhidmatannya di Malaysia akan berakhir tidak lama lagi, Duta Brazil Ary Norton de Murat Quintella mengimbau kembali tempoh yang menyaksikan hubungan diplomatik, pertukaran budaya dan hubungan peribadi yang semakin kukuh.
Hubungan antara Brazil dan Malaysia telah mencapai tahap paling kukuh sejak Quintella memulakan tugasnya pada 2020, sejurus sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19 di negara ini.
Duta itu menganggap lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil pada November tahun lepas sebagai pencapaian penting dalam hubungan dua hala Brazil-Malaysia.
Kini, ketika beliau bersiap sedia untuk berlepas pada 10 Februari, Quintella melahirkan harapan bahawa hubungan antara kedua-dua negara akan terus saling melengkapi – sama seperti Taman KLCC yang harmoni dengan Menara Berkembar Petronas di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama berpeluang bercakap dengan Duta Quintella di kediamannya ketika beliau bersiap sedia untuk menggalas jawatan seterusnya di Angola.
Sumbangan Berkekalan: Bukunya Mengenai Taman KLCC
Mengenang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, Quintella menganggap bukunya, A Brazilian in Kuala Lumpur: The KLCC Park and Roberto Burle Marx, yang dilancarkan pada Januari tahun lepas, sebagai satu daripada pencapaiannya yang paling dihargai di Malaysia.
Buku itu menyerlahkan kepentingan Taman KLCC dalam hubungan Brazil-Malaysia kerana ia direka oleh arkitek landskap terkenal Brazil Roberto Burle Marx (1909–1994).
Projek itu disiapkan pada 1998 selepas pemergiannya dan kekal sebagai satu-satunya projek beliau di Asia serta mungkin karyanya yang terakhir.
Menurut Quintella, beliau sering menikmati sarapan pagi di balkoni kondominiumnya yang menghadap taman itu.
“Taman ini banyak mengingatkan saya kepada Brazil. Saya gemar bersiar-siar di sana pada waktu petang,” katanya.
Quintella turut menekankan satu lagi pencapaiannya di Malaysia, iaitu penganjuran Festival Filem Brazil pada 2023.
Edisi kedua festival itu yang diadakan tahun lepas membuka ruang kepada penonton di Malaysia untuk lebih memahami masyarakat Brazil melalui layar perak.
Batik dan Coklat Beryl’s
Seorang yang kerap memakai batik Malaysia, duta itu menyatakan bahawa selepas lima tahun di negara ini, beliau kini memiliki koleksi sembilan helai baju batik, sebahagian daripadanya diberikan kepadanya sebagai hadiah.
“Baju batik Malaysia lebih selesa dipakai berbanding sut dan tali leher, dan coraknya sangat cantik,” katanya yang memilih baju batik berwarna biru dan hijau untuk pertemuan ini – warna yang terdapat dalam bendera Brazil.
Beliau turut mengakui bahawa sepanjang berada di Malaysia, beliau menggemari coklat keluaran tempatan, Beryl’s – satu "kelemahan" yang menurutnya secara berseloroh, telah menyumbang kepada pertambahan berat badannya.
Daripada Biji Getah kepada Perdagangan
Sejarah telah lama menghubungkan Brazil dan Malaysia melalui perdagangan dan sumber asli.
Ketika ditanya sama ada rakyat Brazil mengenali Malaysia seperti mana rakyat Malaysia mengenali Brazil, terutamanya pasukan bola sepak negara itu yang terkenal dengan corak permainan samba pada setiap musim Piala Dunia, Quintella berkata bahawa semua pelajar sekolah di Brazil mengetahui tentang Malaysia.
Semua pelajar diajar bahawa pada 1877, biji getah telah dibawa keluar dari Brazil ke Malaysia oleh pihak British.
“Itulah kali pertama biji getah dibawa keluar dari Amazon,” jelasnya.
Menurut Quintella, Brazil kini merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Amerika Selatan.
Negara terbesar di Amerika Selatan itu mempunyai kelebihan daya saing dalam reka bentuk litar bersepadu (IC).
Yang terbaru pada Disember 2024, Malaysia dan Brazil mengumumkan kerjasama dalam industri semikonduktor yang akan merangkumi pembangunan inisiatif bersama dalam reka bentuk IC tahun ini.
Pada masa ini, Malaysia merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan nilai eksport melebihi US$85 bilion, manakala nilai eksport semikonduktor Brazil hanya US$1.2 bilion pada 2022.
Memandang Ke Hadapan: Kerjasama BRICS dan ASEAN
Duta itu menyatakan keyakinan bahawa Brazil, yang memegang jawatan Pengerusi BRICS tahun ini manakala Malaysia, yang mempengerusikan ASEAN pada 2025 – dengan Brazil sebagai satu daripada rakan dialognya – akan terus memperkukuh hubungan diplomatik serta budaya mereka pada tahun-tahun akan datang.
Malaysia diterima sebagai negara rakan dalam pakatan BRICS pada Oktober 2024.
“Malaysia akan sentiasa bersama saya,” katanya.
Perpisahan
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini mengucapkan terima kasih kepada Quintella atas perkhidmatan cemerlangnya dalam membawa hubungan Malaysia-Brazil ke tahap tertinggi.
Kementerian Luar Malaysia yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra menerusi laman sesawangnya memaklumkan bahasa Malaysia telah menjalin hubungan dengan Brazil pada 1959.
Pada 1981, Malaysia menubuhkan kedutaannya di Brasilia, yang merupakan misi pertama negara ini di Amerika Latin.
Selamat jalan Tuan Duta!
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial