WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: 14 Tan Makanan Dihantar Ke Pedalaman Tatau 

02/02/2025 07:45 PM

BINTULU, 2 Feb (Bernama) -- Sebanyak 14 tan bekalan makanan telah dihantar kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman daerah Tatau kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Bintulu.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus Datuk Seri John Sikie Tayai berkata misi penghantaran makanan itu telah dilaksanakan menerusi pengangkutan air dan udara.

Beliau berkata inisiatif pelbagai agensi telah digerakkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau.

“Inisiatif ini kita laksanakan untuk kawasan luar bandar yang terputus hubungan melalui jalan darat akibat banjir.

“Kita sudah laksanakan penghantaran ke kawasan Penyarai dan Nanga Tau… makanan yang dihantar ini terdiri daripada makanan kering seperti beras, sardin dalam tin dan mi kepada lebih 1,000 keluarga,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengenai situasi terkini banjir di Tatau, Sikie berkata secara umumnya keadaan kini semakin pulih dengan jumlah mangsa mencatatkan trend penurunan.

“Kita nampak ada penurunan, walaupun begitu di PPS (pusat pemindahan sementara) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau sekarang ini kita ada lebih 700 mangsa,” katanya.

Setakat petang ini, satu-satunya PPS di Tatau iaitu di SMK Tatau yang dibuka pada 29 Jan lepas menempatkan 707 orang daripada 215 keluarga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan