WILAYAH - SARAWAK > BERITA

India Pertahan Kejuaraan Kriket Piala Dunia T20 Wanita

02/02/2025 08:24 PM

KLANG, 2 Feb (Bernama) -- India berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia Kriket T20 Wanita Bawah-19 untuk edisi kedua berturut-turut apabila mengalahkan Afrika Selatan dengan sembilan wiket pada aksi final di Bayuemas Oval, di sini, hari ini.

Meskipun tewas dalam undian (lambungan duit syiling) ) dan terpaksa memulakan perlawanan dengan bertahan, India tidak berdepan sebarang masalah untuk mempamerkan aksi terbaik mereka menerusi kehebatan balingan berputar, menyebabkan pasukan Proteas hanya mampu mengumpul 82 larian dalam 20 overs.

Dalam inning kedua, India mempamerkan ketangkasan memukul dan memastikan kejuaraan menjadi milik mereka apabila Sanika Chalke melakukan pukulan penamat ke pagar.

Pasukan itu mencapai 84 larian dalam hanya 11.2 overs, sekali gus mempertahankan trofi yang mereka menangi dalam edisi pertama di Afrika Selatan, dua tahun lepas.

Trisha Gongadi sekali lagi mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir selepas berjaya menumbangkan tiga wiket serta mencatatkan 44 larian.

Pemain berusia 19 tahun itu turut dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan setelah mengumpul keseluruhan 309 larian dan tujuh wiket sepanjang kejohanan.

Kapten pasukan India, Niki Prasad, meluahkan rasa bangganya terhadap prestasi pasukannya yang berjaya mengekalkan ketenangan dalam perlawanan akhir untuk menamatkan kejohanan dengan kemenangan.

“Saya sangat bangga dengan cara pasukan saya bermain hari ini. Penghargaan juga harus diberikan kepada Afrika Selatan atas persembahan mereka, dan kami gembira dapat bersaing dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, walaupun tewas, kapten Afrika Selatan, Kayla Reneke, tetap berpuas hati dengan pencapaian pasukannya kerana berjaya melangkah ke final buat pertama kali dalam sejarah kejohanan itu.

Kemenangan ini bermakna India mengekalkan rekod tanpa kalah pada edisi 2025 dalam tujuh perlawanan, iaitu menentang West Indies, Malaysia dan Sri Lanka dalam Kumpulan A, diikuti Bangladesh dan Scotland dalam Super Six Kumpulan 1 serta mengalahkan England di separuh akhir.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berterima kasih kepada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah kejohanan berprestij ini, yang membuka pintu kepada diplomasi sukan melalui kriket.

“Kriket Malaysia akan terus membida untuk menjadi tuan rumah bagi lebih banyak kejohanan berprofil tinggi, termasuk kejohanan dua hala dan Piala Dunia pada masa akan datang,” katanya.

Edisi 2027 dijadualkan berlangsung di Bangladesh dan Nepal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan