WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Untung Bersih F&N Bagi Suku Pertama 2025 Susut Kepada RM169.018 Juta

03/02/2025 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi suku pertama 2025 berakhir 31 Dis, 2024 menyusut kepada RM169.018 juta daripada RM170.737 juta yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan melonjak kepada RM1.39 bilion daripada RM1.33 bilion sebelumnya, 

“Jumlah hasil yang tinggi terutamanya didorong oleh jualan perayaan di Malaysia dan Thailand berikutan pemulihan ekonomi di kedua-dua negara itu, selain disokong oleh ketibaan pelancong dan peningkatan jualan di pasaran Indochina berikutan terdapatnya bekalan susu segar.

“Keuntungan operasi pula menerima manfaat daripada jumlah jualan yang lebih baik dan kos pengeluaran yang rendah.

“Namun, insentif bagi makanan dan minuman oleh Lembaga Pelaburan Thailand yang tamat tempoh menyebabkan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi dan pembabitan cukai pegangan ke atas dividen yang dihantar pulang dari Thailand,” katanya.

Kumpulan itu berkata bagi baki tahun kewangan, syarikat itu komited untuk memacu pertumbuhan, mengukuhkan keupayaan bagi meneroka pasaran dan meningkatkan kecekapan operasi sementara kekal berdaya saing terhadap dinamik pasaran serta perkembangan geopolitik.

“Projek ladang tenusu bersepadu di Gemas juga mengikut jadual ditetapkan, malah kemudahan infrastruktur fasa satu juga bersedia untuk menerima ternakan.

“Selain itu, pembangunan loji pengeluaran tenusu di Kemboja juga berjalan lancar yang sekali gus bakal mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan ini dalam pasaran,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan