WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pasangan Kekasih Bebas Pertuduhan Miliki, Edar Dadah

04/02/2025 06:22 PM

JOHOR BAHRU, 4 Feb (Bernama) -- Sepasang kekasih terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan memiliki dan mengedar 248.68 gram dadah, lima tahun lepas.

Hakim Noor Hayati Che Mat mengarahkan Teng Wei Xiong, 27, dan Chai Ying, 22, dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Terdapat percanggahan keterangan yang menjejaskan nilai keterangan saksi SP3 (saksi pendakwaan) dan SD5 (saksi pembelaan), percanggahan ini harus memihak kepada pendakwaan.

“Oleh yang demikian, dengan wujudnya keraguan dan percanggahan di atas, maka setelah membuat penilaian secara maksimum, saya dapati pembelaan berjaya mengakas anggapan di bawah Seksyen 37(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," kata Noor Hayati.

Bagi pertuduhan pertama, Teng dan Chai didakwa mengedar 112 gram methamphetamine mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 121.23 gram mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama dan dibaca sekali di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan maksimum 10 sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 15.45 gram di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A(1) akta sama dan dibaca sekali di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan maksimum sembilan sebatan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Jalan Rusa 3, di sini, pada 9 malam, 5 Mei 2020.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juliana Jaafar.

Teng diwakili peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairul Nadia Hasni Yusoff manakala peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying mewakili Chai.

Pihak pendakwaan telah mengemukakan sembilan saksi manakala tujuh saksi oleh pihak pembelaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan