WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Monopoli Projek Kerajaan: Dua Pemilik Syarikat Direman Sehari

05/02/2025 01:46 PM

SIBU, 5 Feb (Bernama) -- Dua pemilik syarikat direman sehari bagi membantu siastan kes rasuah berhubung kes monopoli semua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di Sarawak sejak 2006.

Kedua-dua individu, masing-masing berusia 60 dan 65 tahun itu adalah antara lapan yang ditahan dalam operasi khas yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Mereka diwakili peguam Clement Hii, Alexander Ling dan Darren Ling, ditahan di beberapa lokasi di Sarawak antara 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dalam satu kenyataan media semalam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Siasatan awal mendapati bahawa aktiviti monopoli projek ini telah berlangsung sejak 2006, dengan kontraktor didakwa membenarkan penggunaan lesen syarikat mereka sebagai pertukaran komisen sehingga 10 peratus daripada nilai projek.

Selain itu, seorang jurutera awam turut ditahan kerana disyaki menerima bayaran bagi membantu mendapatkan projek daripada jabatan kerajaan berkaitan.

Dalam operasi yang sama, SPRM turut merampas sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan bernilai sekitar RM450,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan