WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JDT Akan Tangguh Raikan Kejuaraan Liga Super, Fokus Kepada ACLE

06/02/2025 12:29 PM

JOHOR BAHRU, 6 Feb (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menangguhkan sebarang sambutan awal bagi kejuaraan Liga Super yang sudah hampir pasti menjadi milik mereka, pada ketika Harimau Selatan itu memfokuskan kepada perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) yang akan datang.

Pendahulu liga itu kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan iaitu ketika menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim pada akhir bulan ini, untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super, walaupun masih berbaki lima perlawanan.

Namun Ketua Jurulatih Hector Bidoglio menegaskan bahawa keutamaan pasukan kini ialah pada dua perlawanan penting ACLE iaitu menentang Central Coast Mariners dan Pohang Steelers.

“Saya berpuas hati dengan prestasi pemain, ia benar-benar menggembirakan saya. Kini, fokus saya ialah kepada dua perlawanan yang sangat penting.

“Kami mesti bermain dengan kualiti, semangat, dan keazaman yang tinggi. Penting untuk kami bekerjasama, menunjukkan potensi sepenuhnya, dan bersaing pada tahap tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Harimau Selatan dijadualkan bertemu pasukan Australia, Central Coast Mariners, pada 11 Feb di New South Wales, sebelum menamatkan saingan peringkat liga Zon Timur menentang kelab Korea Selatan, FC Pohang Steelers, pada 18 Feb di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT kini berada dalam kedudukan baik untuk mara ke peringkat kalah mati, menduduki tempat keenam berdasarkan perbezaan jaringan, walaupun terikat dengan lapan mata bersama kelab China, Shanghai Port, dan pasukan Thailand Buriram United, selepas enam perlawanan.

Hanya lapan pasukan teratas daripada 12 pasukan pada peringkat liga akan layak ke pusingan 16 terbaik.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM FC P.Maniam mahu anak buahnya untuk melupakan kekalahan 4-0 kepada JDT dan memberikan fokus kepada perlawanan akhir Piala Cabaran menentang Selangor FC.

Bagaimanapun, beliau memuji pasukannya kerana berjuang habis-habisan dan memberikan saingan sengit walaupun tanpa beberapa pemain utama dalam perlawanan malam tadi.

“Saya rasa kita bolos banyak dengan JDT,  separuh masa pertama kita banyak bertahan dengan baik, tetapi babak kedua pertahanan agak longgar.

“Kalau hendak buat perbandingan, sudah tentu JDT sebuah pasukan yang berada di peringkat tinggi, jadi kita kena lupakan perlawanan yang telah dilalui dan beri tumpuan sepenuhnya kepada Piala Cabaran,” katanya.

PDRM FC ketika ini menduduki tangga ketujuh liga dengan 21 mata daripada 18 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan