WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Gas Malaysia Komited Beri Impak Positif Kepada Komuniti Gelandangan Dan Miskin Bandar

06/02/2025 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia), ahli Kumpulan MMC meneruskan komitmennya dalam membantu komuniti terpinggir dengan mengedarkan lebih 200 pek makanan kepada golongan gelandangan dan miskin bandar di Pusat Transit Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. 

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat berkenaan yang bertujuan menyokong dan memperkasakan masyarakat yang memerlukan, demikian menurut kenyataan media Gas Malaysia yang diedarkan hari ini.

Program yang memasuki tahun kedua itu dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI), sekali gus mengukuhkan peranan Gas Malaysia dalam menangani isu keperluan asas seperti makanan dan minuman bagi golongan yang terkesan.

Sesi terakhir inisiatif tiga siri itu menyaksikan penyertaan kira-kira 15 sukarelawan daripada Gas Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia  Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata inisiatif itu diharap membawa sinar baharu kepada komuniti yang memerlukan. 

“Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, menjadi kewajipan kami untuk membantu mereka dengan menyediakan makanan kepada golongan gelandangan dan miskin bandar,” katanya dalam kenyataan itu.

Gas Malaysia turut menyasarkan untuk membantu seramai 700 penerima sepanjang program, di samping menggalakkann penyertaan aktif petugasnya sebagai sukarelawan untuk menjadikan program itu lebih bermakna.

“Pengalaman ini akan memberi kesedaran kepada warga kerja Gas Malaysia, malah ia juga akan memupuk budaya kesukarelawanan serta memperkukuhkan komitmen untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata Ahmad Hashimi.

Program TSK itu selaras dengan empat teras utama Gas Malaysia, iaitu Komuniti, Sukan, Alam Sekitar, dan Pendidikan, yang menjadi asas dalam memastikan matlamat perniagaan syarikat selaras dengan amalan tanggungjawab sosial korporat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan