WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Titah Agong, Dasar Baharu Trump Tumpuan Dewan Rakyat Minggu Ini

07/02/2025 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang sarat dengan mesej, peringatan dan amanat penting membuka tirai Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang bermula pada Isnin lepas. 

Dalam Titah Diraja pada istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu, Sultan Ibrahim antara lain mahu kerajaan bersikap tegas dalam membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian serta media sosial yang boleh menyebabkan perpecahan. 

Seri Paduka Baginda turut menyambut baik pendekatan subsidi bersasar oleh Kerajaan MADANI yang berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan negara selain mahu hak dan kedaulatan negara dipertahankan walaupun hanya melibatkan seketul batu karang di tengah lautan.

Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja kemudian dibawa Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah pada hari kedua persidangan yang mencadangkan Malaysia perlu memperkasakan dan memanfaatkan pengurusan sumber emas negara dengan mewujudkan Kerangka Pengurusan Industri Emas Negara yang holistik dan komprehensif.

Setakat ini, 44 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bermula pada Selasa yang menyentuh pelbagai topik antaranya soal ancaman penipuan dalam talian dan masalah keselamatan siber.

Minggu pertama persidangan Dewan Rakyat juga menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab beberapa isu penting menerusi dua soalan utama pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri melibatkan kepentingan rakyat, seperti tarif elektrik, subsidi dan pertanian. 

Anwar menjelaskan bahawa kenaikan kadar tarif utiliti itu berkuat kuasa pada Julai ini hanya melibatkan sektor perindustrian, dengan 85 peratus daripada isi rumah tidak akan terkesan dengan kenaikan itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi pada minggu depan berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutamanya melibatkan harga beras dan mahu kaedah pertanian padi di Sekinchan, Selangor diaplikasikan di beberapa negeri lain. 

Selain itu, pelaksanaan dasar serta polisi hubungan antarabangsa dan ekonomi "keras" yang diperkenalkan Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump 2.0 turut menjadi tumpuan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat minggu ini. 

Cadangan Trump untuk mengusir secara paksa rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza juga menarik perhatian ahli Dewan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membenarkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengambil sedikit masa untuk menjawab perkara itu pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Mohamad berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang rancangan yang boleh mengakibatkan pemindahan warga Palestin secara paksa dan menyifatkan langkah itu sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Johari turut memaklumkan sebanyak tujuh akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 14 Okt hingga 12 Dis tahun lepas telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Akta berkenaan ialah Akta Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025), Akta Kewangan 2024, Akta Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024 dan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024.

Selain itu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 turut mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 18 hari dengan perbahasan usul itu berlangsung dari 4 hingga 18 Feb, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 19 Feb.

Selepas itu, persidangan akan diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain hingga 6 Mac.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan