WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAMTC 2025: Roy King-Wan Arif Tagih Sentuhan Herry

07/02/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Gandingan sedang meningkat naik, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King percaya sentuhan yang diberikan ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mampu membantu mereka beraksi dengan lebih baik di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qindao, China bermula 11-16 Feb ini.

Wan Arif berkata meskipun baru seminggu bersama Herry, dia dan gandingannya yakin dengan sentuhan jurulatih ‘naga api’ itu dalam membongkar ‘rahsia’ pasangan Indonesia yang bakal dihadapi mereka di kejohanan itu.

“Dia pernah latih (beregu) Indonesia, dan ia sangat membantu kerana Indonesia satu kumpulan bersama Malaysia.

“Jadi kita semua harap ilmu itu dapat digunakan ketika beraksi di China nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Roy King berkata mereka sudah bersedia sekiranya diperlukan untuk beraksi dalam mana-mana perlawanan di kejohanan berkenaan.

Dia berkata bersama Wan Arif, mereka akan memberi 100 peratus komitmen di atas gelanggang untuk menyumbang mata bagi skuad negara.

"Saya rasa memang setiap pasangan beregu kena ada tanggungjawab mereka sendiri. Bagi kami, memang sudah bersedia di dalam mahupun luar gelanggang,” katanya.

Malaysia akan membuka tirai BAMTC 2025 pada Rabu ini bertemu Hong Kong sebelum turun menentang pasukan pilihan, Indonesia pada Khamis.

Mengikut format kejohanan hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan suku akhir.

Sejak dipertandingkan pada 2017, pasukan negara tidak pernah meraih sebarang pingat di kejohanan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan