SEREMBAN, 7 Feb (Bernama) -- Seorang guru kaunseling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelakinya serta menyimpan video serta gambar bahan penganiayaan kanak-kanak, dua tahun lepas.
Mohd Kharulnizam Muslin, 45, membuat pengakuan terbabit selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di dalam bilik kaunseling sebuah sekolah di sini pada 1 tengah hari dan 4 petang antara awal Mei hingga awal Sept 2023.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTKK 2017) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa menyimpan 180 gambar dan video bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam komputer riba di sebuah rumah di Taman Warisan Puteri di sini pada 12 Dis 2023.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 10 AKSTKK 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian meminta mahkamah menawarkan jaminan RM30,000 dan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan mangsa selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam mewakili tertuduh Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah ketika rayuan memohon mahkamah memberikan jaminan paling minimum terhadap anak guamnya atas alasan tidak mampu selain menanggung isteri yang juga suri rumah serta dua anak berusia 11 dan empat tahun.
“Anak guam merupakan penjawat awam dan pendapatan hanya sebagai guru dan sekarang ditempatkan di pejabat pendidikan daerah. Dia juga memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan anaknya turut dipanggil untuk siasatan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang warga emas Said Sapie, 72, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di tepi pantai Kuala Lukut, Port Dickson kira-kira 1 tengah hari pada Mac 2021.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) AKSTKK 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh ketika rayuan meminta jaminan paling rendah dikenakan berikutan tidak bekerja, perlu menjaga cucunya selain hanya tinggal di rumah sewa manakala penjamin yang juga anaknya turut tidak bekerja.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 7 Mac ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial