SUBANG JAYA, 7 Feb (Bernama) -- Agrobank menyasarkan penyertaan 80,000 peserta bagi Kempen Mega Million 2.0 yang berlangsung dari 1 Nov, 2024 hingga 31 Okt, 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh sembilan bulan yang akan datang.
Beliau berkata Kempen Mega Million 2.0 dianjurkan berikutan sambutan yang amat memberangsangkan ketika siri pertama berlangsung.
"Sambutan untuk kempen ini pada siri pertama amat menggalakkan. Kita menerima lebih 50,000 permohonan membuka akaun baharu di setiap cawangan Agrobank di seluruh Malaysia dengan simpanan melebihi RM300 juta.
"Oleh kerana permintaan dan dorongan pelanggan, Agrobank akan meneruskan kempen-kempen seumpama ini untuk meningkatkan kesedaran menabung dalam kalangan warga Malaysia," katanya selepas majlis penyerahan hadiah Kempen Mega Million 1.0 pusingan keempat di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Agrobank dalam satu kenyataan berkata antara produk komprehensif yang ditawarkan di bawah Kempen Mega Million ialah AgroPrimaS, AgroPerdana-i PLUS, AgroCash-i, Hartani-i dan Takaful Kasih Plus.
Katanya, produk-produk yang ditawarkan itu direka khusus untuk memenuhi keperluan kewangan pelbagai peringkat masyarakat, merangkumi perkhidmatan simpanan, perlindungan dan pembiayaan - sama ada untuk individu mahupun keluarga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial