WILAYAH - UTARA > BERITA

Sultan Nazrin Berkenan Berangkat Ke Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak

08/02/2025 02:33 PM

IPOH, 8 Feb (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada 11.10 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin serta beberapa orang kenamaan.

Pada sambutan itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menggaul Yee Sang sebagai simbolik sambutan perayaan berkenaan.

Baginda berdua kemudian berkenan menyertai majlis santapan dengan diiringi persembahan tarian tradisional Cina, pukulan gendang, wusyu dan opera Cina pada sambutan yang dihadiri kira-kira 17,000 orang itu.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan angpau kepada 68 anak yatim dan miskin daripada Pusat Jagaan Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim Dan Miskin Anning, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak, Pusat Jagaan Anak Yatim Kasih Sayang Ipoh dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Berjasa Kinta.

Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata sempena perayaan itu, beliau mengajak masyarakat memperbaiki diri, mengembangkan potensi dan memperkasakan jati diri bagi membina sebuah negeri yang maju dan rakyatnya bersatu padu.

“Yakinlah, formula kemajuan sesebuah negeri dan negara tidak boleh terpisah dengan dakapan perpaduan serta keharmonian. Ekonomi tidak mungkin dapat dilata tanpa adanya kerukunan dalam masyarakat, sementelah suasana negeri yang terbina di sebalik kerencaman agama, kaum dan budaya,” katanya.

Beliau berkata perayaan yang diraikan setiap tahun itu sewajarnya menjadi ingatan dan teladan bahawa keamanan negara sejak lebih enam dekad lalu tidak mungkin kekal secara automatik tanpa semangat persefahaman, nilai tolak ansur dan sifat keikhlasan.

“Seruan ini diungkap tatkala wujud anasir yang semakin nyaring meniup api permusuhan, mengatur naratif perpecahan dan menabur dakyah adu domba melalui neraca kaum serta agama, sehingga masyarakat berbilang kaum sentiasa dibayangi fitnah, mengundang tebalnya rasa curiga dan syak wasangka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan