SEREMBAN, 10 Feb (Bernama) -- Kejayaan Terengganu FC (TFC) mengutip tiga mata penuh selepas mencatatkan kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 semalam memberi peluang kepada skuad itu memperbaiki prestasi sekali gus mencabar kedudukan Sabah FC di tempat ketiga Liga Super.
Ketua Jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata skuad Sang Penyu perlu terus bekerja keras dan memastikan mereka tidak keciciran mata dalam menghadapi baki perlawanan.
“Sudah tentu kita mara ke hadapan untuk perlawanan akan datang bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City), kita tidak boleh keciciran mata, apa-apa pun kita akan terus memberi saingan kepada pasukan Sabah FC yang berada di tangga ketiga ketika ini.
“Kita ada masa tiga ke empat hari untuk perbaiki kelemahan yang kita nampak pada malam ini (untuk perlawanan akan datang) terutama di barisan pertahanan dan hadapan untuk menjaringkan gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan TFC menundukkan NSFC 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman semalam.
Dalam pada itu, Badrul Afzan memuji persembahan ditunjukkan anak buahnya yang berjaya menterjemahkan kemenangan meskipun sedikit keletihan selepas menghadapi perlawanan kelayakan ke separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC) menentang BG Pathum United, minggu lepas.
Dengan kemenangan semalam, TFC kekal di tangga keempat liga dengan 27 mata, lima mata di belakang Sabah FC (32 mata) manakala NSFC juga kekal di tangga ke-12 dengan sembilan mata.
Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC K. Nanthakumar tetap memuji persembahan anak buahnya walaupun gagal mencatat kemenangan di laman sendiri.
“Kita tahu TFC merupakan pasukan yang bagus, bermain di Piala Shopee (ACC), ada pemain tempatan dan import yang baik, tapi kita lawan, kita banyak dapat peluang terutama pada babak pertama perlawanan namun gagal jaringkan gol,” katanya.
Nanthakumar bagaimanapun berazam akan memastikan pasukannya membuat yang terbaik dalam menghadapi baki enam perlawanan selepas ini.
“Bahagian paling kritikal adalah di bahagian serangan, kita akan cuba perbaiki, kalau boleh semua enam perlawanan kita nak menang, kita tak akan putus asa dan akan tengok berapa perlawanan dapat kumpul mata selepas ini, saya akan beri tahu pemain supaya berusaha sedaya upaya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial