WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sebutan Semula Kes Bunuh Nurul Asikin 17 Mac Ini

10/02/2025 12:41 PM

KUCHING, 10 Feb (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes seorang pemandu e-hailing yang didakwa membunuh Nurul Asikin Lan yang mayatnya ditemukan dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan di sini pada Disember lepas.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tarikh itu berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei yang memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa.

Zakwan Mokhtar, 24, yang tidak diwakili peguam didakwa menyebabkan kematian Nurul Asikin, 29, sebelum mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan reput dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan di sini pada 9.10 malam, 14 Dis tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan.

Sebelum ini, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata suspek mengaku melakukan jenayah itu ekoran terdesak memerlukan wang sebagai perbelanjaan menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja di kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan