WILAYAH - UTARA > BERITA

Kerja Penyambungan Paip Seberang Sg Perai 25 April

10/02/2025 01:45 PM

GEORGE TOWN, 10 Feb (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan kerja-kerja penyambungan akhir bagi bahagian Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) bernilai RM8.7 juta melibatkan fasa 1 di Ampang Jajar, Butterworth pada 25 April ini. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk K. Pathmanathan dalam kenyataan berkata apabila siap, SP-RCP 1.35 meter itu akan menyokong kapasiti pengepaman air terawat maksimum 247 juta liter sehari (JLH).

"Ia akan membolehkan pengepaman air terawat yang lebih selamat dan lebih efisien dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk memenuhi permintaan air pada masa hadapan di tanah besar dan bahagian pulau melalui saluran paip dasar laut berkembar.

"Dipasang pada struktur sokongannya sendiri kira-kira 5 meter di atas permukaan Sungai Perai, SP-RCP akan menggantikan dua saluran paip sementara 600 milimeter yang diletakkan di sepanjang jambatan Ampang Jajar yang dilalui kenderaan dan sehingga 1 Feb lepas, status kerja projek SP-RCP berjalan mengikut jadual serta mencapai 70 peratus," katanya.

Beliau memaklumkan bahagian saluran paip SP-RCP merupakan komponen saluran paip bekalan air utama yang meliputi LRA Sungai Dua iaitu LRA terpenting Pulau Pinang di Seberang Perai Utara (SPU) ke Sungai Perai di Seberang Perai Tengah (SPT).

Pathamanathan berkata PBAPP akan memberi notis awal mengenai kerja-kerja itu yang dijangka menjejaskan bekalan air kepada 337,000 pengguna di seluruh negeri terutama pengguna industri di Bayan Lepas, Perai, Bukit Minyak dan Batu Kawan selama 24 hingga 48 jam.

"Ketika tempoh henti bekalan air, PBAPP juga akan menjalankan kerja-kerja pembaikan segera untuk membaiki saluran paip 1.2 meter yang bocor di lokasi lain iaitu di pinggir sungai Jalan Pengkalan Tambang di SPU berhampiran LRA Sungai Dua," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan