WILAYAH - UTARA > BERITA

Penggunaan AI Mudahkan Usahawan Tani, Tarik Minat Pelapis - Gobind

10/02/2025 05:03 PM

JITRA, 10 Feb (Bernama) -- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian bukan sahaja memudahkan urusan usahawan tani di ladang malah dapat menarik minat golongan pelapis untuk berkecimpung dalam sektor berkenaan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata teknologi berkenaan juga dapat meningkatkan daya saing eksport pertanian negara di peringkat global.

"Malaysia kini berada di landasan transformasi digital yang pesat. Teknologi telah membuktikan keupayaannya dalam meningkatkan daya saing negara, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan menjana peluang baharu bagi rakyat," katanya semasa mengadakan lawatan ke Tapak Akuakultur Berteraskan Teknologi AI (Digital AgTech) Jelajah Digital Malaysia (JDM) Kedah di Ayer Hitam di sini hari ini.

Beliau berkata sektor pertanian sering dikaitkan dengan pekerjaan bersifat 3D (dirty, dangerous and difficult) iaitu kotor, bahaya, serta sukar dan sektor itu sering dianggap berisiko tinggi dengan pulangan pelaburan yang rendah.

"Namun misi kita hari ini adalah untuk mengubah persepsi ini dan melonjakkan sektor pertanian ke tahap yang lebih moden dan produktif melalui teknologi digital, selaras dengan fokus utama Kementerian Digital untuk mewujudkan Kerajaan Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital," katanya.

Gobind berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah dilantik sebagai Pengesah Strategik Teknologi Digital Nasional (Digital AgTech) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menyokong pengadaptasian teknologi digital dalam sektor pertanian. 

Sistem pertanian digital itu antara program di bawah MDEC bertujuan meningkatkan penggunaan digital dalam sektor pertanian sekali gus memudahkan pemasaran hasil tani, membolehkan petani dan usahawan tani mencapai pasaran dengan lebih cepat dan efisien. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan