WILAYAH - TIMUR > BERITA

Pekebun Dipenjara Empat Tahun Lakukan Pemerasan Ke Atas Warga Emas

10/02/2025 06:01 PM

KOTA BHARU, 10 Feb (Bernama) -- Seorang pekebun dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pemerasan terhadap seorang wanita warga emas.

Mohd Zakuan Jaafar, 38, didakwa melakukan perbuatan tersebut menyebabkan wanita berusia 62 tahun itu ketakutan akan dibunuh sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM100.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai makan di Kampung Lubok Simpol di Kuala Krai, pada 11 pagi, 28 Jan lepas mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

“Saya minta duit dan ugut bunuh kerana dia (mangsa) berhutang dengan saya,” kata Mohd Zakuan.

Hakim Zulkifli Abllah sebelum menjatuhkan hukuman, menasihatkan  tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama kerana perbuatannya yang menggunakan parang adalah serius, sehingga mendatangkan trauma kepada mangsa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM3,000 dan tambahan penjara 12 bulan jika Mohd Zakuan gagal menjelaskan denda tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan