WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nilai Kerja Pembinaan Malaysia Capai 20.2 Peratus Pada 2024 Berjumlah RM158.8 Bilion

10/02/2025 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Nilai kerja pembinaan yang dilakukan di Malaysia pada 2024 meningkat sebanyak 20.2 peratus kepada RM158.8 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata nilai kerja pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan pada Suku Keempat 2024 dengan peningkatan ketara sebanyak 23.1 peratus selepas merekodkan pertumbuhan 22.9 peratus pada Suku Ketiga 2024 yang berjumlah RM42 bilion. 

“Prestasi memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh peningkatan kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 44.9 peratus dan 38.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Subsektor bangunan bukan kediaman turut menyumbang kepada pertumbuhan, dengan peningkatan sebanyak 24.6 peratus.

Sementara itu, subsektor kejuruteraan awam terus berkembang walaupun pada kadar yang lebih perlahan dengan kadar pertumbuhan positif sebanyak 9.3 peratus.

Mohd Uzir berkata daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM42.0 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2024, sejumlah RM15.6 bilion atau 37.2 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM6.9 bilion) dan projek utiliti (RM6.8 bilion).

Nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing mencatatkan RM11.8 bilion (28.0 peratus) dan RM9.9 bilion (23.5 peratus).

“Aktiviti pertukangan khas pula menyumbang RM4.7 bilion (11.3 peratus), terutama dalam aktiviti penyediaan tapak (RM1.2 bilion); pemasangan elektrik (RM1.1 bilion); dan pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin (RM1.0 bilion),” katanya.

Sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku ini, menyumbang RM27.0 bilion atau 64.2 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.

Menurut Mohd Uzir, sektor swasta mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 32.9 peratus pada suku tersebut daripada 33.3 peratus pada Suku Ketiga 2024,  didorong oleh prestasi kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman.

“Sebaliknya, sektor awam yang menyumbang 35.8 peratus bernilai RM15.1 bilion mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 8.8 peratus daripada 8.1 peratus pada Suku Ketiga 2024, didorong oleh subsektor bangunan kediaman (46.8 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (22.4 peratus) masing-masing berjumlah RM0.6 bilion dan RM1.4 bilion,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi sektor pembinaan mengikut negeri pada Suku Keempat 2024, Mohd Uzir berkata hampir 62.3 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.

Beliau berkata Selangor merekodkan nilai kerja pembinaan tertinggi sebanyak RM9.4 bilion (22.5 peratus), diikuti Johor (RM7.4 bilion atau 17.7 peratus), Wilayah Persekutuan (RM4.7 bilion atau 11.3 peratus) dan Sarawak (RM4.6 bilion atau 10.9 peratus).

“Secara keseluruhannya, sektor pembinaan Malaysia pada 2024 menunjukkan prestasi kukuh, disokong oleh pertumbuhan yang meningkat di semua subsektor,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan