WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Erdogan Terima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat Daripada Universiti Malaya

10/02/2025 07:49 PM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM) hari ini, sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada diplomasi global dan rundingan antarabangsa.

Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Canselor UM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada Erdoğan pada istiadat konvokesyen khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini. 

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdulp Kadir dan beberapa menteri Kabinet. 

Dalam ucapannya Erdoğan berkata beliau amat berbesar hati menerima anugerah berprestij yang berfungsi sebagai pemangkin untuk menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.

"Saya menerima anugerah ini sebagai cerminan penghormatan yang ditunjukkan kepada saya, negara saya dan rakyat saya," katanya.

Sementara itu Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman mengesahkan komitmen universiti untuk memperkukuh kecemerlangan global melalui kerjasama erat, persahabatan antarabangsa, dan memelihara nilai, norma dan etika sejagat.

"Ini sejajar dengan aspirasi Universiti Malaya untuk mewujudkan platform strategik jangka panjang yang mewujudkan impak global yang ketara.

"Anugerah kehormat ini bukan sahaja cukup bermakna dan bersejarah, tetapi juga memangkin usaha Universiti Malaya dalam mengiktiraf individu terbilang yang memberi inspirasi dan menjunjung nilai sejagat," katanya.

Erdoğan tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi dua hari atas jemputan Perdana Menteri.

Esok beliau akan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra, diikuti pertemuan dengan Anwar.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa semasa pertemuan mereka, seterusnya mengukuhkan perkongsian strategik Malaysia-Turkiye.

Ia akan disusuli dengan majlis menandatangani beberapa memorandum persefahaman, dan sidang media bersama.

Lawatan Erdoğan akan diakhiri dengan Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye, yang mencerminkan komitmen bersama antara kedua-dua negara dalam mengembangkan hubungan ekonomi mereka.

Pada 2024 Türkiye merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar di kalangan negara Asia Barat. 

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Türkiye direkodkan pada RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, mewakili peningkatan 18.7 peratus daripada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan