WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anwar Rai Presiden Erdogan Dalam Jamuan Tengah Hari

11/02/2025 06:18 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan jamuan tengah hari bagi meraikan Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdoğan, di Seri Perdana di sini.

Erdoğan dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri pada pukul 2.30 petang.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, Erdoğan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan pertemuan bersama Anwar.

Antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah perkembangan hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia-Türkiye, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, industri halal, kerjasama tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi serta hubungan logistik.

Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor.

Antara perjanjian penting ialah MoU mengenai kerjasama dalam peralihan tenaga, yang ditandatangani antara Fadillah, selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Türkiye Alparslan Bayraktar.

Anwar dan Erdoğan kemudian mengadakan sidang akhbar bersama, di mana kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik pada peringkat tinggi.

Mereka turut bersetuju menyokong inisiatif Jepun dalam membiayai semula pembinaan semula Gaza, sementara Perdana Menteri menyeru kerjasama berterusan dengan Türkiye dalam sektor tenaga, halal, kesihatan, digital, dan pengurusan bencana.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Türkiye direkodkan sebanyak RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) pada 2024, meningkat 18.7 peratus berbanding 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan