HARBIN, 12 Feb (Bernama-CMG) -- Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-9 sedang berlangsung di sini hingga 14 Feb.
Sebagai satu komponen yang bertujuan menambah kemeriahan kepada temasya sukan itu, aktiviti interaksi sosiobudaya yang bertajuk "Berlangsungnya AWG pada 'Tahun Warisan Budaya Tidak Ketara”’ telah diadakan di "Kota Ais" ini kelmarin, yang turut menyaksikan penyertaan hampir 20 orang atlet, pegawai kontinjen sukan dan warga media dari Mongolia, Thailand, Filipina, Vietnam, India dan Nepal.
Setelah beraksi di padang sukan, mereka diajak meluangkan masa berkumpul di satu dataran di luar studio penyiaran Kumpulan Media China (CMG) untuk Ekspo Salji di Pulau Matahari Harbin untuk mengikuti karnival merayakan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 bersama-sama.
Pada saat menjelang ketibaan Hari Chap Goh Meh yang juga dikenali sebagai "Pesta Tanglung", yang jatuh pada hari ke-15 bulan pertama mengikut kalendar tradisional Cina, iaitu jatuh pada 12 Feb bagi tahun ini, para tetamu asing atas jemputan tersebut bersemangat tinggi menari bersama-sama dengan penduduk tempatan mengikut irama Yangge (sejenis tarian tradisional yang popular di kawasan bahagian utara China yang berkaitan dengan penanaman anak padi), dan turut mencetuskan fenomena riang gembira dalam pukulan gendang dan gong yang bergema tanpa henti.
Selepas sesi menari itu, kumpulan peserta AWG ke-9 tersebut dibawa mengikuti sesi temu mesra dan diberi penerangan tentang kemahiran menghasilkan sebahagian warisan budaya tempatan seperti lukisan papan ais, lukisan gula, lukisan jerami dan guntingan kertas.
Selain itu, mereka juga berpeluang mengecapi buah pir beku dan pisang kaki beku yang merupakan makanan warisan, dan diajar membuat "bebola pulut Yuan Xiao" yang merupakan makanan wajib semasa perayaan Chap Goh Meh. Di bawah suhu udara yang sudah mencecah 20 Celsius di bawah sifar, para tetamu tetap menunjukkan semangat tinggi dalam membuat kuih Yuan Xiao dengan cara tradisional, iaitu mencelup isi kuih ke dalam air dan menggulungnya dalam tepung beras pulut secara berulang kali seperti menggulung bola salji, sehingga terbentuk satu bebola yang saiznya sederhana.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial