WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN Berpotensi Jadi 'Kuasa Pertengahan', Tangani Ketegangan Geopolitik - Zambry

13/02/2025 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) --  ASEAN berpotensi untuk menjadi ‘'kuasa pertengahan’  dalam memainkan peranan penting menangani ketegangan antara kuasa-kuasa besar bukan dengan tujuan berperang tetapi sebagai mediator dan pengimbang.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dengan peralihan daripada sistem unipolar, di mana satu kuasa besar mendominasi kepada sistem multipolar, ASEAN dilihat boleh membawa suara seruan ke arah penyelesaian diplomatik dalam menghadapi pertikaian antarabangsa.

“Kebetulan Malaysia sekarang menjadi Pengerusi ASEAN dan Malaysia boleh memainkan peranan dalam membawa hal-hal berkaitan pertikaian ini supaya dapat diselaraskan.

“Contohnya, dalam isu krisis di Myanmar, kita harapkan ia dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas selesai menjadi moderator bagi BN Forum: Impak Pemilihan Trump dan Dasar-Dasarnya ke atas Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata forum yang dianjurkan dalam beberapa siri itu bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap isu-isu global dan kesannya kepada negara.

Katanya ini penting kerana dunia kini bergerak ke arah kehidupan yang lebih kompleks dan dinamik, sekali gus memerlukan masyarakat memahami isu-isu luar negara serta implikasinya terhadap negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan