WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anggota Polis Didenda RM5,000 Kerana Terima Rasuah

13/02/2025 04:51 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Feb (Bernama) -- Seorang anggota polis didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima rasuah RM1,000 dua tahun lepas.

Hakim Mohd Azhar Othman turut memerintahkan Abdul Aziz Mustapha, 33, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, lelaki berkenaan yang ketika itu merupakan konstabel pelatih di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Besut telah menerima RM1,000 daripada seorang lelaki tanpa balasan, yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dilakukan di kawasan tempat letak kereta Medan Selera Kota Putera, Besut, pada 12.40 tengah hari, 8 Okt 2023.

Dia sebelum ini telah dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17(a) akta sama atas kesalahan meminta wang suapan sebanyak RM2,000 dan menerima wang suapan RM1,000 daripada dua lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Fadhly Zamry manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

 -- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan