PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah III Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas sebuah kereta mewah, dadah dan minuman keras bernilai RM164,715 dalam operasi berasingan di Sepang, KLIA dan Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah Norlela Ismail berkata pada 2 Jan lepas, pihaknya telah menyita sebuah kereta mewah tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM90,000 di kawasan taman perumahan di Sepang.
Beliau berkata kereta itu disenaraikan sebagai barang larangan di bawah Butiran 4, Jadual II, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang mana pengimportan kenderaan itu hanya dibenarkan dengan syarat memiliki permit import.
“Modus operandi adalah mengimport dan menyimpan kenderaan tak berkastam di kawasan perumahan yang ditinggalkan kosong. Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berasingan, Norlela berkata pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah melalui mod udara di Pusat Mel dan Kurier KLIA dengan merampas lima bungkusan mengandungi ganja dan dadah jenis MDMA seberat 1,056 gram dianggarkan bernilai RM73,940.
Beliau berkata menerusi pemeriksaan yang dijalankan pada 4, 6, 14 dan 15 Jan lepas, pihaknya percaya bungkusan yang dirampas itu adalah untuk pasaran dalam dan luar negara.
“Modus operandi adalah menggunakan perkhidmatan kurier dan membuat pengikraran tidak benar. Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Norlela berkata pada 9 Jan lepas, pihaknya telah melakukan serbuan di sebuah premis di Cyberjaya yang disyaki menjual minuman keras pelbagai jenama bertanda Malaysian Duty Not Paid (MDNP) dan merampas 85.59 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM775.
“Orang yang disyaki (OYDS) warganegara Malaysia telah ditahan bersama barang kes dan dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial