Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kalangan perniagaan Malaysia digalakkan untuk meneroka potensi kerjasama dengan rakan perniagaan di Turkiye bagi meningkatkan sinergi antara kedua-dua negara, kata Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.
Beliau berkata banyak syarikat dari negara itu yang bergiat dalam pelbagai sektor berminat untuk menjalin kerjasama dengan syarikat dari Malaysia menerusi penggabungan atau usaha sama.
"Sektor swasta Malaysia juga boleh mengikut langkah Turkiye yang memfokuskan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Turkiye membelanjakan kira-kira US$12 bilion (US$1 = RM4.46) pada 2023 dan US$15 bilion pada 2024 untuk R&D sahaja, dengan dana tersebut disalurkan kepada universiti, industri, syarikat dan individu yang mempunyai kapasiti untuk berinovasi,” katanya kepada Bernama.
Sazali ditemui selepas program The Nation di Bernama TV bertajuk "Malaysia-Turkiye: Di Sebalik Perkongsian Strategik Komprehensif".
Baru-baru ini, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 10 hingga 11 Februari 2025, diiringi Wanita Pertama Emine Erdogan, atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sepanjang lawatan itu, Malaysia dan Turkiye menandatangani 11 memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor.
Kerjasama itu merangkumi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kerjasama media.
Pemimpin kedua-dua negara juga berhasrat untuk menggandakan jumlah dagangan bagi mencapai dagangan dua hala berjumlah US$10 bilion (RM44.68 bilion) selepas berjaya melepasi angka US$5 bilion (RM22.34 bilion) pada 2024.
Sementara itu, Sazali berkata kalangan perniagaan kedua-dua negara boleh memanfaatkan kedudukan dan kekuatan masing-masing untuk memperluas pasaran mereka ke Eropah dan Timur Tengah bagi Malaysia, serta ke ASEAN dan rantau Asia Pasifik bagi Turkiye.
Katanya, terdapat bidang yang masih kurang diterokai termasuk sektor tenaga, pembinaan dan pelancongan.
Beliau berkata Turkiye mempunyai kapasiti yang kukuh dalam sektor pembinaan, kerana ia mempunyai struktur yang baik, pembiayaan yang mantap dan tenaga kerja yang berkemahiran, dan ciri-ciri ini boleh dipelajari dan dimanfaatkan oleh perniagaan Malaysia.
“Selain itu, mereka juga mahu bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk meneroka gas asli cecair di Laut Hitam.
“Mereka juga banyak melabur dalam tenaga boleh baharu, kerana mereka mempunyai turbin angin dan panel solar di seluruh negara, dan saya rasa kita patut melihat kemudahan ini dengan lebih dekat,” kata Sazali.
Beliau pada masa sama turut percaya bahawa mengukuhkan hubungan antara rakyat adalah penting untuk meningkatkan kerjasama ekonomi.
“Ini melibatkan interaksi dengan rakyat tempatan, sama ada rakyat Malaysia atau Turkiye. Sebagai contoh, usaha perlu diperhebatkan dalam bidang pelancongan kerana ia adalah asas bagi sebarang hubungan,” katanya.
Sehingga Disember tahun lepas, beliau berkata kira-kira 98,000 rakyat Malaysia telah mengunjungi Turkiye, bagaimanapun, hanya kira-kira 21,000 rakyat Turkiye mengunjungi Malaysia.
Justeru itu, beliau menyeru sektor pelancongan tempatan untuk lebih giat melakukan promosi supaya lebih ramai pelancong dari Turkiye mengunjungi Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Turkiye direkodkan sebanyak RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) pada 2024, peningkatan sebanyak 18.7 peratus berbanding 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial