KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memeterai perjanjian dengan syarikat penerbangan Saudia Airlines (Saudia) bagi menyediakan penerbangan sewa khas untuk membawa jemaah haji negara ke tanah suci bagi tempoh lima tahun bermula 2025.
TH dalam kenyataan memaklumkan kesemua penerbangan sewa khas ini akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarbangsa Prince Mohammad Abdulaziz di Madinah.
Penerbangan pertama dijadual pada 29 April ini.
“Bagi musim haji 1446H/2025M, Saudia Airlines akan menyediakan 45 penerbangan pergi dan balik dengan kapasiti penumpang sebanyak 357 orang bagi setiap pesawat untuk menerbangkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 bakal haji secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan berlangsung di Menara TH, Jalan Tun Razak, dengan TH diwakili oleh Ketua Jabatan Haji TH Mohd Hisham Harun, manakala Saudia diwakili oleh Pengurus Besar, Pengurusan Hasil dan Jualan, Haji dan Umrah, Amer G.Alghamdi.
Majlis Penandatangan itu disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Sementara itu Syed Hamadah berkata kerjasama yang sudah terjalin sebelum ini diperkukuhkan lagi dengan pelantikan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi penerbangan jemaah haji negara.
“TH dan syarikat penerbangan Saudia akan memastikan jadual penerbangan disusun secara sistematik serta komited untuk terus menyampaikan perkhidmatan mesra secara konsisten bagi memberikan pengalaman perjalanan haji yang terbaik kepada para dhuyufurrahman daripada langkah mula di tanah air ke tanah suci sehingga pulang semula ke tanah air,” katanya.
Katanya TH yakin Saudia dapat membantu agensi itu bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan terbaik demi keselesaan dan kelancaran perjalanan jemaah haji.
“Atas dasar itu, kami meneruskan kerjasama untuk jangka panjang kerana syarikat ini telah menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang pada musim-musim haji sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial