KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Himpunan 25K Huffaz akan dianjurkan sekali lagi tahun ini sebagai manifestasi kepada usaha kolektif dalam mengangkat martabat institusi tahfiz dan meraikan generasi huffaz yang menjadi penyuluh kepada masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam pembinaan generasi al-Quran, yang menjadi bukan sekadar tempat menghafal al-Quran, tetapi pusat pembentukan generasi rabbani yang memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran suci ini dalam kehidupan seharian.
"Saya beriltizam untuk memastikan institusi huffaz terus dimartabatkan agar lebih ramai huffaz lahir bukan sahaja mahir dalam hafazan, tetapi juga memiliki keupayaan intelektual dan kemahiran yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata perkembangan institusi tahfiz di Malaysia amat membanggakan dengan terdapat 18 maahad tahfiz negeri dan 1,058 maahad tahfiz swasta yang beroperasi di seluruh negara.
Ahmad Zahid berkata jumlah pelajar tahfiz kini mencapai 55,000 orang, dengan hampir 8,000 tenaga pengajar yang berdedikasi, sekali gus membuktikan bahawa minat masyarakat terhadap pendidikan tahfiz semakin tinggi, mencerminkan kesedaran yang semakin berkembang terhadap kepentingan pembinaan generasi al-Quran.
Timbalan Perdana Menteri berkata program Pra-Tahfiz Tabika KEMAS pula bukan sahaja membina asas kukuh dalam pendidikan tahfiz, tetapi juga menanam nilai-nilai Islam yang akan membentuk jati diri mereka sejak kecil.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program itu juga mampu menjadi asas kepada sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050, satu visi besar untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial