MELAKA, 15 Feb (Bernama) -- Kisah pilu Muhammad Khairuddin Sa'ari, 35, yang kehilangan isteri dan empat anak dalam kebakaran pada Khamis lepas, mendapat perhatian isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menerusi perkongsian Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim di laman sosialnya, Wan Azizah telah berhubung dengan Khairuddin menerusi panggilan telefon ketika program Ziarah Kasih MADANI semalam.
Menerusi panggilan telefon itu, Wan Azizah menyampaikan salam serta ucapan takziah atas ujian berat yang sedang dihadapi oleh Khairuddin.
"Redha ya... Kita semua pinjaman... Allah takkan uji kalau kita tak tahan... Kena kuat ya.." itu antara kata- kata semangat yang diberikan oleh Wan Azizah dalam perbualannya dengan Muhammad Khairuddin.
Terdahulu, sambungan panggilan itu adalah sebahagian daripada program Ziarah Kasih MADANI Adam Adli, semalam.
Ziarah berkenaan bagi menzahirkan keprihatinan serta memberikan sokongan moral kepada Muhammad Khairuddin yang sedang melalui detik sukar.
Dalam pada itu, pada insiden 13 Feb lepas, lima sekeluarga terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin.
Mereka yang maut dikenali Laila Fathinah Mustapa, 37, yang hamil lima bulan, dan empat anaknya iaitu Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi,4.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial