Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 15 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terus memperkasakan kedudukannya sebagai pengawal selia proaktif dalam industri penerbangan awam menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan (DSP) 2024-2028.
Inisiatif itu yang telah dilaksanakan secara berperingkat bertujuan meningkatkan keselamatan, kecekapan, dan kemampanan dalam perjalanan udara dengan memanfaatkan transformasi digital, kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Kapten Norazman Mahmud.
“Pelaksanaan pendigitalan disusun dalam tiga fasa utama untuk meningkatkan kecekapan pengawalseliaan dan keselamatan penerbangan.
“Menerusi rangka tindakan itu, CAAM mengintegrasikan teknologi untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan keseluruhan perjalanan udara sambil menempatkan sektor penerbangan Malaysia sebagai pemacu ekonomi yang berdaya tahan serta mampan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata transformasi digital sedang mengubah landskap industri penerbangan maka CAAM melabur dalam teknologi untuk meningkatkan operasi lapangan terbang, menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada penumpang dan mengoptimumkan pengurusan trafik udara.
Norazman berkata dengan kemajuan ini, CAAM berupaya memodenkan infrastruktur penerbangan, mengukuhkan keselamatan penerbangan, dan meluaskan manfaat untuk masyarakat serta perniagaan.
Beliau berkata fasa pertama pelan pendigitalan, CAAM memberi tumpuan kepada penambahbaikan asas, menetapkan peringkat untuk fasa kedua yang melibatkan proses utama pendigitalan termasuk pengenalan sistem pelesenan digital bagi petugas penerbangan, memperkemas pengeluaran dan pembaharuan lesen, selain meningkatkan pengawasan keselamatan.
Sementara itu, di bawah fasa ketiga kemajuan itu akan diperluas dan melaksanakan projek lebih canggih untuk mengukuhkan lagi ekosistem penerbangan.
Beliau berkata antara inisiatif utama adalah pembangunan sistem e-pelesenan iaitu platform dalam talian termaju yang direka untuk membantu pemegang lesen CAAM dan warga penerbangan dalam mengurus serta mengemukakan permohonan pelesenan secara digital, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan masa pemprosesan.
Sistem e-pelesenan itu dijangka dilancarkan hujung bulan ini.
Selain itu, Norazman berkata CAAM juga sedang berusaha ke arah mewujudkan gudang data yang komprehensif menjelang 2027, bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan dan keupayaan ramalan risiko.
“Menjelang 2028, semua data berkaitan keselamatan penerbangan akan saling berhubung, membolehkan pendekatan proaktif terhadap pengawasan keselamatan udara, meningkatkan ketelusan, dan dapat mengurangkan secara ketara tempoh penyiasatan insiden pesawat,” katanya.
Untuk meningkatkan lagi keselamatan dan kecekapan operasi, CAAM juga akan memperkenalkan menara maya digital jarak jauh, memanfaatkan teknologi digital untuk menambah baik pengurusan trafik udara, terutamanya di lapangan terbang serantau.
Norazman berkata inisiatif pendigitalan ini mencerminkan komitmen CAAM untuk memacu lagi sektor penerbangan Malaysia, memastikan proses kawal selia lebih cekap, telus dan responsif kepada keperluan industri.
CAAM yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam iaitu agensi kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Ditubuhkan pada 1969, ia menyelia isu teknikal berkaitan sektor penerbangan awam di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial