KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) mencatatkan kejayaan signifikan dengan pembukaan rasmi Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini yang menyaksikan 4,000 telah memperoleh manfaat sejak mula beroperasi pada 2021.
Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata RMH-HTA turut memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan yang amat diperlukan kepada keluarga yang anak-anak mereka sedang menjalani rawatan perubatan.
Beliau berkata kemudahan itu membantu memastikan waris terutama mereka dari luar Kuala Lumpur berpeluang berada di sisi anak-anak mereka dalam persekitaran yang selesa.
Lebih 4,000 keluarga telah mendapat manfaat sejak penubuhan RMH-HTA membolehkan tumpuan diberikan kepada pemulihan di samping membantu mengurangkan beban kewangan serta tekanan emosi.
RMH-HTA yang terletak di tingkat 10 kompleks tempat letak kereta hospital itu mula dibuka semasa pandemik COVID-19.
Selain RMH-HTA, RMHC Malaysia kini mengendalikan tiga lagi kemudahan RMH di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), yang ditubuhkan pada 1999 yakni yang pertama di Malaysia dan ASEAN; Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan yang dibuka pada 2019; serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) yang dilancarkan pada 2023.
Azmir juga berkongsi mengenai perancangan RMHC Malaysia untuk terus berkembang dan rundingan mengenai perkara ini sedang dilaksanakan dengan Hospital Umum Sarawak dan pihak berkepentingan utama bagi menubuhkan kemudahan RMH kelima menjelang 2026.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen RMHC Malaysia dalam memastikan lebih ramai keluarga berpeluang mendapat akses kepada bantuan berkenaan.
Sepanjang 35 tahun lepas, beliau berkata inisiatif RMHC Malaysia telah memberi manfaat kepada ratusan ribu kanak-kanak di seluruh negara.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bermurah hati dengan turut menyumbang menerusi tabung yang disediakan di rangkain restoran McDonald’s di seluruh negara.
Pada acara itu, pemegang saham McDonald’s Malaysia dan Pengurus Besar Reza Group Arab Saudi Abdulrahman Alireza menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 kepada RMHC Malaysia.
Abdulrahman juga menyuarakan kekagumannya terhadap usaha RMHC Malaysia selain berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada inisiatif ini.
“Apa yang paling penting adalah membawa senyuman kepada kanak-kanak dan meringankan beban keluarga yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar RMHC Malaysia Nasri Nordin berkata kemudahan yang disediakan RMH bukan sekadar tempat penginapan.
Beliau berkata keutamaan RMHC Malaysia adalah mewujudkan persekitaran bebas tekanan untuk keluarga, memastikan RMH bukan sekadar tempat berteduh – tetapi juga ruang bagi ibu bapa menikmati keselesaan semasa anak mereka menjalani rawatan.
RMHC Malaysia terus beroperasi melalui sumbangan orang ramai yang menyaksikan McDonald’s Malaysia memainkan peranan utama sebagai rakan korporat terbesar dalam menyokong inisiatif itu.
Empat program utama di bawah organisasi ini untuk menyumbang kepada kesejahteraan kanak-kanak, terutamanya dalam bidang kesihatan dan pendidikan.
Program berkenaan termasuk RMH yang menyediakan penginapan sementara untuk keluarga pesakit pediatrik; Bilik Sensori Ronald McDonald yang menawarkan terapi sensori kepada kanak-kanak yang mengalami kesukaran pembelajaran; Program Gift of Smile untuk pembedahan bibir sumbing dan lelangit; serta Program Kembali ke Sekolah yang menyediakan kelengkapan sekolah kepada kanak-kanak kurang berkemampuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial