WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Petugas Petra News Tuntut Gaji Tertunggak, Caruman KWSP Bagi 2024

15/02/2025 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Sebanyak 15 petugas Petra News Sdn Bhd, penerbit portal berita The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran, menuntut pembayaran segera caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tahun lepas.

Menerusi kenyataan bersama, mereka memaklumkan hasil semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun.

“Meskipun pemotongan telah dibuat, syarikat gagal memenuhi kewajipan undang-undang untuk menyerahkan bayaran itu, sekali gus menahan hak pekerja secara tidak sah.

“Kegagalan ini telah menyebabkan kesusahan kewangan kepada pekerja, termasuk permohonan pinjaman yang ditolak kerana caruman KWSP tidak dikreditkan dan pekerja bimbang akan dikenakan penalti oleh LHDN apabila memfailkan cukai pendapatan mereka,” menurut kenyataan itu.

Susulan perkara itu, petugas terjejas telah membuat laporan di Balai Polis Travers, Brickfields semalam (14 Feb).

Menurut kenyataan itu, selain kegagalan menyerahkan caruman berkanun, pekerja juga mengalami kelewatan pembayaran gaji sejak 2024 dan petugas yang terkesan telah mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang kini menjalankan siasatan. 

Bagaimanapun, Petra News gagal menghadiri sebahagian daripada sesi pendengaran yang telah dijadualkan, menolak untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) serta melanggar perjanjian terdahulu bagi beberapa pengadu, sekali gus mencemarkan integriti sistem perundangan buruh.

“Walaupun terdapat pelanggaran serius ini, tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap Petra News Sdn Bhd atau pemiliknya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, petugas yang terkesan turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kerana sudi membantu mereka sejak isu terbabit didedahkan, namun sehingga kini, ramai pekerja masih berdepan dengan tekanan kewangan akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu. 

Justeru, mereka menggesa kementerian serta pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera terhadap Petra News bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh dan melindungi keselamatan kewangan pekerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan