WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jawatan Dalam Kabinet Sarawak: Abdul Karim Serah Kepada Premier

16/02/2025 03:49 PM

KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyerahkan keputusan berhubung jawatannya dalam Kabinet Sarawak kepada Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berikutan kekalahannya dalam pemilihan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam. 

Abdul Karim yang memegang dua portfolio menteri dalam Kabinet negeri berkata sebarang urusan berhubung pelantikan anggota kabinet adalah hak Abang Johari.

“Sama ada keputusan pilihan raya (parti) akan memberi kesan kepada saya atau tidak, saya perlu berbincang dengan beliau (Abang Johari) kerana jika perwakilan sudah membuat keputusan, saya tidak akan menyusahkan beliau.

“Mungkin saya perlu duduk berbincang dengannya dan melihat sama ada beliau perlu pertimbangkan kemungkinan lain, seperti merombak kabinet. Saya bersedia untuk melepaskan (jawatan) kerana sebenarnya tiada siapa yang lebih besar daripada parti...parti sudah membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Agung PBB ke-16 di sini, hari ini.

Ketika ini Abdul Karim memegang jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Pagi tadi, pengerusi pemilihan PBB Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah mengumumkan Abdul Karim gagal mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden sayap Bumiputera PBB dalam pemilihan parti semalam.

Beliau memperoleh 669 undi, meletakkannya di tempat kelima daripada enam calon. Hanya empat calon yang mendapat undian tertinggi akan memperolehi jawatan naib presiden.

Lebih 4,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung parti selama tiga hari yang bermula Jumaat lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan