WILAYAH - TENGAH > BERITA

LIAM Rai Pemenang Kempen #LIAMGoldenMoments Dengan Hadiah Tunai RM40,400

17/02/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dengan kerjasama 16 syarikat ahlinya hari ini mengumumkan lapan pemenang hadiah utama kempen #LIAMGoldenMoments, sebagai menandakan kemuncak sambutan ulang tahun ke-50 LIAM. 

Kempen media sosial berasaskan amal itu mengajak rakyat Malaysia berkongsi kisah peribadi mengenai detik emas kehidupan mereka menerusi penghantaran video di Facebook, Instagram dan TikTok dengan setiap peserta bersaing untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM40,400. 

Kemuncak kempen ialah menerusi pengumuman lima video paling kreatif dan tiga video paling berimpak pada majlis penyampaian hadiah di Auditorium Azman Hashim, Bangunan AICB di sini hari ini. 

Antara pemenang tiga video paling berimpak ialah guru berdedikasi dari Sarawak Siti Aisyah Azhar, 28, menerusi perkongsian menyentuh hati misi beliau memperkasakan murid luar bandar, yang menyaksikan wanita itu membawa pulang hadiah utama RM5,000 bagi kategori tersebut. 

Turut menyentuh hati ialah penyertaan oleh perancang bandar dari Taiping, Perak Muhammad Syafiq Zainal, 33, dengan dokumentasi perjalanan penuh inspirasi dilalui anaknya Ameena melawan penyakit Atrial Septal Defect (ASD) yang turut melayakkan beliau memenangi RM5,000. 

Turut meraih RM5,000 ialah pereka grafik dari Seremban, Negeri Sembilan Muhammad Afiq Mohd Nasri, 34, melalui video berjudul 'Health is Wealth' berhubung azam beliau untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan perjalanannya menurunkan berat badan serta komitmen terhadap kecergasan  .  

Manakala lima video paling kreatif memperoleh RM2,000 setiap satu dimenangi Mohd Nor Nazeri Abd Razak, 37, Ariff Hakimi Chik, 27, Norlela Mohd Yusoff, 34, Muhammad Faris Md Rashid, 29, dan Siti Nurul Fathiyah Hamim, 33.

Presiden LIAM Raymond Lew semasa berucap di majlis penympian hadiah itu, menyifatkan 2024 sebagai tahun luar biasa kepada industri insurans hayat. 

"Perkhidmatan kami selama lima dekad mencerminkan perjalanan penuh dengan impak kepada komuniti dan transformasi indusri. Tahun ini, LIAM menerajui inisiatif yang menyentuh banyak pihak, mempromosikan celik kewangan, meningkatkan kebajikan komuniti dan menyokong usaha kelestarian. 

"Satu daripada inisiatif paling memberi impak sepanjang tahun ialah sokongan LIAM kepada Persatuan Kanser Kebangsaan dan Yayasan ROSE. Menerusi program vaksinasi dan saringan HPV Leaving No One Behind, kami memberi impak berkesan dalam perjuangan menentang kanser. 

"Pelaburan RM3.65 juta kami telah menyediakan vaksin HPV kepada 100,000 remaja perempuan, manakala 10,000 wanita menjalani saringan di seluruh Malaysia," katanya. 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell berkata kempen #LIAMGoldenMoments mengukuhkan komitmen LIAM terhadap kesejahteraan komuniti menerusi kerjasama dengan lima badan bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial, dengan sumbangan RM100,000 bagi menyokong usaha dilakukan mereka. 

Penerima sumbangan itu ialah Association of Learning Disabilities District of Petaling Selangor (GOLD), Suri Lifestyle, Persatuan Wanita Dan lbu Tunggal (MITUS), Reef Check Malaysia dan The Asli Co./Ajar Society.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan