KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Perbincangan berhubung penebusan sukuk 2025 dan pengambilan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diserahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), dijangka dapat dimuktamadkan pada suku pertama 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata kerajaan melalui jabatan itu akan memastikan penyerahan semula aset-aset TH daripada syarikat tujuan khas (SPV) berkenaan, adalah teratur dan tidak memberi implikasi kepada kedudukan kewangan TH dan pendeposit.
“Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 29 Sept 2023, TH telah memulakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan UJSB, melibatkan isu berbangkit iaitu penebusan sukuk tahun 2025 dan kesan ke atas nilai aset UJSB.
“Sehubungan itu TH masih menelitoi pilihan terbaik dalam perbincangan (bersama) MOF dan UJSB, yang dijangka dapat dimuktamadkan pada suku pertama 2025. Langkah ini bertujuan memberi manfaat kepada pendeposit amnya dan TH khususnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berhubung perkembangan terkini cadangan mengembalikan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diserahkan kepada USJB, serta pelaburan yang dilakukan TH.
Mengenai pelaburan TH, Mohd Na’im berkata lembaga itu sentiasa melihat kepada peluang pelaburan dalam sektor-sektor yang membantu untuk menjana pulangan mampan dan stabil.
“Kepentingan pendeposit akan sentiasa diambil kira dalam konteks pelaburan-pelaburan dan tindakan yang diambil oleh TH,” katanya.
Menjawab soalan asal Idris yang ingin tahu langkah pembaharuan jangka masa pendek dan sederhana yang diambil kerajaan supaya pengurusan TH terus cekap dan berdaya saing, Mohd Na’im berkata TH akan memperkenalkan pelan jangka sederhana iaitu FAITH27: Pelan Strategik TH 2025-2027 dengan kesinambungan beberapa inisiatif daripada HIJRAH24 berserta inisiatif baharu ke arah matlamat yang dituju.
Beliau berkata objektif pelan itu untuk mengemudi TH ke arah mencapai kemampanan kewangan dan menjadikannya sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang unggul dan berprestasi tinggi bagi terus berkhidmat berdasarkan mandat yang diberi.
Mohd Na'im berkata pelan strategik HIJRAH24 yang dilancarkan pada 2022 mengandungi 24 inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun bermula 2022 hingga 2024.
Lima teras utama pelan itu termasuk pengurusan haji yang cemerlang, menjana pulangan dan lebihan aset yang mampan, meningkatkan simpanan yang stabil, memupuk modal insan terbaik dan menerapkan prinsip Maqasid Syariah.
“Alhamdulillah, hasil usaha keras semua warganya, kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh. Bagi empat tahun berturut-turut sejak 2020 hingga 2023, TH telah mengumumkan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus iaitu melebihi kadar simpanan 12 bulan perbankan Islam.
“Saiz deposit dan jumlah pendeposit juga telah meningkat dari RM75.9 bilion dan 8.97 juta pendeposit pada 31 Dis 2020 kepada RM91.7 bilion dan 9.54 juta pendeposit pada 31 Dis 2024, mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat terhadap TH,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial