WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Desatera Sasar Pertumbuhan Pada 2025 Selepas Catat Prestasi Kukuh 2024

19/02/2025 10:30 AM

BANGI, 18 Feb (Bernama) -- Desatera Sdn Bhd, anak syarikat Dewina Holdings Sdn Bhd, optimis untuk mendapatkan lebih banyak projek dan mengembangkan jangkauannya pada 2025, selepas mencatatkan prestasi yang kukuh pada 2024 walaupun berdepan cabaran ekonomi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Feizal Nor Nurbi.

Dewina Holdings ialah syarikat bersekutu Brahim’s Holdings Bhd.

Feizal berkata Desatera merancang untuk membuka tujuh kafe baharu di bawah jenama 'Dapur Brahim' pada separuh kedua tahun ini, walaupun enggan mendedahkan lokasi spesifik, beliau menyatakan beberapa projek berada di peringkat lanjutan manakala yang lain masih dalam pembangunan awal.

"Kami juga sedang menyatukan kekuatan kami secara strategik. Aspek-aspek tertentu dalam katering syarikat penerbangan, seperti pengeluaran pastri, adalah bidang di mana kami boleh bekerjasama dan bukannya bekerja secara bersendirian," katanya kepada media selepas pratonton bufet Nostalgia Ramadan di Randau Rasa oleh Dapur Brahim's di sini hari ini.

Feizal mengakui dengan memanfaatkan keupayaan pembuatan dan kepakaran dapur syarikat penerbangannya, Desatera bertujuan meningkatkan kecekapan dan mengembangkan kehadirannya di pasaran.

Syarikat itu juga sedang meneroka peluang dalam katering hospital, khususnya diet terapeutik, tetapi Feizal mengakui perlunya kerjasama strategik untuk memastikan keupayaannya dalam sektor itu.

"Kami sedang berbincang dengan rakan kongsi yang berpengalaman dalam katering hospital dan menyasarkan untuk memuktamadkan perjanjian menjelang suku ketiga tahun ini," katanya.

Walaupun Desatera memiliki kekuatan dalam katering industri, Feizal mengakui pasaran peruncitan memberikan cabaran yang unik.

"Persaingan sangat sengit. Walaupun kami cemerlang dalam katering industri, mengendalikan bistro dan kafeteria memerlukan pendekatan yang berbeza. Memahami keutamaan pelanggan adalah proses pembelajaran yang berterusan," katanya.

Mengenai prestasi kewangan syarikat tahun lalu, beliau berkata Desatera mengharungi landskap ekonomi yang mencabar pada 2024 tetapi berjaya mencatat pendapatan sebanyak RM136 juta, sedikit melebihi purata 10 tahunnya sebanyak RM120 juta.

Mengimbas kembali tahun itu, Feizal berkata walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan, syarikat berjaya menyesuaikan diri melalui pengurusan kos dan kecekapan operasi.

"Pendapatan meningkat sedikit, tetapi intipati sebenar terletak pada keuntungan bersih. Kami tidak boleh mengharapkan harga setiap unit atau perkhidmatan kami meningkat, jadi kami memberi tumpuan kepada penambahbaikan kos untuk mengekalkan margin.

"Hasilnya, margin keuntungan Desatera meningkat daripada kira-kira 12 peratus pada 2023 kepada 17 peratus pada 2024, menandakan trajektori positif bagi syarikat. Kami berharap untuk meneruskan usaha baik kami dan mengembangkan jangkauan kami," jelasnya.

Feizal turut memberitahu selepas tidak terlibat dengan Malaysia Airlines, yang memberi kesan ketara kepada pendapatan Brahim's, Desatera memainkan peranan penting dalam menstabilkan kedudukan kewangan kumpulan itu.

"Sebelum ini, perkhidmatan makanan Brahim's menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah pendapatan. Selepas keluarnya Malaysia Airlines, sumbangan kami kini kurang daripada 40 peratus, membantu mengurangkan kesan berkenaan," kata Feizal sambil menambah pada zaman kemuncaknya, pendapatan Brahim's mencecah RM350 juta, hampir tiga kali ganda daripada Desatera.

Desatera mengendalikan dua bahagian perniagaan utama: ketenteraan dan bukan ketenteraan. Bahagian kedua, yang dimulakan pada 2018, masih di peringkat awal tetapi semakin berkembang dengan 11 cawangan kini di bawah bahagian komersialnya.

Syarikat itu kini menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai institusi, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia dan di ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kwasa Damansara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan