PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) tersusun dan teratur.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah terbabit telah dilakukan sebelum Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaksanakan kajian menyeluruh dan mengemukakan syor mengenai sistem itu.
"Kami (KKR) berterima kasih kepada pasukan PAC atas ketekunan mereka dalam menilai perkara ini, yang amat penting bagi meningkatkan mutu, keselamatan dan keselesaan infrastruktur jalan raya dan pengangkutan negara.
"Meskipun KKR menerima baik syor yang dicadangkan oleh PAC, adalah penting untuk dinyatakan bahawa sebelum syor ini dikemukakan, KKR telah pun mengambil langkah-langkah proaktif selaras dengan cadangan tersebut bagi memastikan pelaksanaan MLFF dibuat secara tersusun dan terancang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta berkata seperti yang dinyatakan PAC, kajian menyeluruh mengenai MLFF amat penting sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Beliau berkata KKR akan terus menjalankan penilaian terperinci bagi menangani semua cabaran dari aspek teknikal, operasi, dan kewangan bagi memastikan peralihan kepada MLFF dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat pengguna jalan raya.
"Pihak kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif ini selari dengan kepentingan negara serta meningkatkan kecekapan sistem kutipan tol di Malaysia," katanya.
Semalam, PAC membentangkan enam syor mengenai MLFF di Dewan Rakyat antaranya KKR serta Lembaga Lebuhraya Malaysia disyor melaksanakan analisis kos faedah yang lebih terperinci kerana jawatankuasa itu berpendapat sistem berkenaan tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara total.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial