WILAYAH - TENGAH > BERITA

MOT Bentang Permohonan Projek KXP Kepada Jemaah Menteri Dalam Masa Terdekat

19/02/2025 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan memorandum permohonan lesen aerodrom bagi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk keputusan selanjutnya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerima permohonan rasmi yang lengkap daripada Kerajaan Negeri Kedah pada 9 Sept, CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melaksanakan penilaian teknikal dan kewangan seterusnya mengemukakan ulasan kepada MOT, masing-masing pada 4 Dis 2024 dan 9 Dis 2024.

“Mengambil kira kepentingan cadangan projek ini, MOT telah mengedarkan memorandum Jemaah Menteri berhubung permohonan ini kepada kementerian dan agensi pusat untuk pertimbangan dan mendapatkan ulasan masing-masing untuk ditetapkan hala tuju sewajarnya.

“Kuasa membenarkan berada di bawah MOT tetapi sudah tentu perkara besar seperti ini dan atas pentadbiran baik kita rujuk ke Jemaah Menteri untuk keputusan kerana ini perkara besar, membina satu lapangan terbang bukan soal kecil dan sudah tentu ambil kira pelbagai pertimbangan dan kita memerlukan ulasan daripada pelbagai agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai caj kesesakan kepada pemandu bagi mengelak kesesakan di Lembah Klang, Loke berkata cadangan itu ada dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya.

Bagaimanapun, kerajaan amat prihatin dengan kebajikan rakyat dan lebih menumpukan kepada pemerkasaan sistem pengangkutan awam supaya pilihan dapat diberikan kepada rakyat sebelum mempertimbangkan cadangan itu.

“Walaupun ada cadangan, kerajaan belum lagi memutuskan mengenakan caj itu sebaliknya fokus kepada usaha meningkatkan akses terutama kesalinghubungan yang pertama dan terakhir,” katanya.

Loke berkata dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kenderaan perdagangan, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan operasi bersepadu melalui perintah larangan pemanduan kenderaan barangan khusus sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata ia bertujuan mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan dan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya.

“JPJ turut melaksanakan Audit Pemeriksaan dan Keselamatan (JISA) terhadap kenderaan perdagangan dan sebanyak 5,800 audit dijalankan ke atas 3,202 syarikat sepanjang 2019 hingga 2024.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 473 lesen pengendali dan permit kenderaan digantung manakala lapan lesen pengendali dan permit kenderaan dibatalkan,” katanya yang memaklumkan tindakan diambil berdasarkan kes kemalangan, dapatan daripada Laporan Audit Pemeriksaan dan Keselamatan (JISA) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan aduan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan