WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Perpaduan Puji Usaha Kolektif Bina Masyarakat Harmoni, Maju  

20/02/2025 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara memuji usaha kolektif pelbagai sektor yang berdedikasi untuk membangunkan masyarakat yang harmoni dan maju.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha ini berteraskan konsep negara bangsa, menyaksikan rakyat dan pihak pemerintah saling bekerjasama untuk memperkukuh identiti dan legitimasi negara.

“Memandangkan Malaysia menyandang Pengerusi ASEAN tahun ini di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, kami dengan penuh keyakinan yang mencerminkan harapan, komitmen dan kemajuan sosioekonomi dalam memupuk keamanan, kestabilan serta kemakmuran serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Kesatuan Belia Bandaraya Ho Chi Minh di sini malam ini.

Selain itu, beliau berkata kementerian memberikan lebih tumpuan kepada penyepaduan konsep "Keharmonian dalam Kepelbagaian" sebagai aspirasi negara baharu.

Inisiatif itu menjadi simbol kepada langkah revolusioner dalam agenda perpaduan negara dengan strategi komprehensif yang direka untuk memperkasakan ekosistem perpaduan.

“Ini termasuk dalam aspek Rukun Negara, menggalakkan pembangunan sosiobudaya, dan memajukan inisiatif seperti Harmoni MADANI untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat,” katanya.

Mengenai MoU itu, antara fokus yang terkandung dalam memorandum itu ialah usaha pengantarabangsaan sukarelawan belia, penubuhan ekosistem latihan dan pembangunan sukarelawan yang ideal.

Di bawah kementerian, YSS berperanan sebagai jambatan dalam pembangunan belia dan rangkaian alumni sukarelawan dengan pelbagai pertubuhan sukarelawan di peringkat global melalui pengantarabangsaan dan peluasan misinya dari peringkat kebangsaan kepada antarabangsa.

Sejak penubuhannya, YSS telah pun melaksanakan 73 misi berimpak tinggi, termasuk 19 misi sukarelawan pelajar antarabangsa ke beberapa negara anggota ASEAN seperti Indonesia dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan