WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN Perlu Utamakan Pelaburan Mampan, Rapatkan Jurang Pembangunan - ESCAP

20/02/2025 10:42 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin & Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menekankan ASEAN perlu menggerakkan strategi pelaburan mampan dan inklusif sebagai pemacu utama daya tahan ekonomi dan pertumbuhan.

Setiausaha Agung Rendah PBB dan Setiausaha Eksekutif ESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana berkata usaha itu amat penting untuk merapatkan jurang pembangunan antara ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dengan negara anggota yang kurang maju.

Beliau berkata walaupun ASEAN telah melakar kemajuan ekonomi yang ketara namun, ketaksamaan pembangunan masih menjadi cabaran.

“10 negara anggota ASEAN tidak berkembang sama rata. Kita memerlukan inisiatif serantau yang lebih utuh untuk merapatkan jurang ini, memastikan semua negara anggota ASEAN mendapat manfaat daripada kemajuan ekonomi, bukan hanya kalangan ekonomi yang lebih maju,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Alisjahbana juga menekankan kepentingan merapatkan jurang pembangunan melalui inisiatif ekonomi serantau, termasuk Pelan Tindakan Penggalakan Pelaburan Serantau ASEAN, yang disokong oleh ESCAP.

Beliau berkata kepengerusian ASEAN oleh Malaysia adalah peluang untuk Putrajaya memajukan transformasi ekonomi serantau susulan semua cabaran itu.

“ASEAN telah lama menjadi pusat pembangunan ekonomi dan pertumbuhan di rantau Asia-Pasifik, dipacu oleh perdagangan, pelaburan, dan kesalinghubungan. Kita mesti memastikan semua tonggak ini diperkukuh dengan kemampanan dan terangkum,” katanya.

Beliau turut menekankan rangka kerja pelaburan mampan terutama melibatkan tenaga boleh baharu, pendigitalan dan pembangunan infrastruktur juga amat diperlukan.

Beliau berkata projek Grid Tenaga ASEAN, yang diterajui Malaysia, sebagai inisiatif peralihan tenaga serantau yang boleh meningkatkan daya tahan ekonomi.

“Malaysia sedang berusaha untuk penyepaduan tenaga boleh baharu yang lebih besar dalam ASEAN melalui Grid Tenaga ASEAN.

“Inisiatif ini, yang menghubungkan sumber tenaga boleh baharu dari Laos, Thailand, Malaysia, dan Singapura, adalah langkah ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan terjamin untuk rantau ini,” katanya.

Alisjahbana berkata selain tenaga, dasar pelaburan juga perlu menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memastikan landskap ekonomi yang lebih saksama.

“ASEAN bukan sahaja perlu menarik pelaburan langsung asing (FDI) malah juga perlu memastikan dasar pelaburan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya PKS yang menjadi tulang belakang kepada banyak ekonomi ASEAN,” katanya.

ESCAP bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia untuk menganjurkan Forum Pelaburan ASEAN bagi menggalakkan strategi pelaburan mampan dan inklusif.

“Forum itu akan berperanan sebagai platform penting bagi agensi penggalakan pelaburan seluruh ASEAN bagi memudahkan aliran pelaburan mampan ke rantau ini. Kami bekerjasama dengan Malaysia untuk memastikan pelaburan hijau dan inklusif kekal sebagai teras agenda ekonomi ASEAN,” katanya.

Beliau juga menekankan kepimpinan Malaysia dalam pendigitalan dan ketersambungan sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi.

Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), satu inisiatif utama di bawah kepengerusian Malaysia bertujuan mempercepat transformasi digital di seluruh rantau ini, katanya.

“Pendigitalan adalah pencetus perubahan. Usaha Malaysia untuk DEFA adalah penting dalam memastikan ekonomi ASEAN kekal berdaya saing dan boleh menyesuai dengan landskap digital global,” katanya.

Alisjahbana berkata pelaburan dalam biobahan api, tenaga solar serta pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) boleh mewujudkan peluang ekonomi baharu di pelbagai negara ASEAN.

“Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit utama, mempunyai peluang untuk menerajui pelaburan biobahan api manakala negara anggota ASEAN lain boleh membangunkan industri sokongan dalam teknologi solar dan pemerangkapan karbon.

“Kerjasama pelaburan rentas sempadan seumpama ini penting untuk pertumbuhan ekonomi lestari,” katanya.

Beliau berkata berlandaskan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, ESCAP melihat kepimpinan dan komitmen yang kukuh terhadap transformasi ekonomi sebagai faktor penting dalam memastikan pertumbuhan mampan rantau ini.

“Kami mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Malaysia. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai visi jelas dan kepimpinan tegas dalam memacu ASEAN ke hadapan dengan dinamik ekonomi baharu.

“Ini adalah detik penting ASEAN untuk mengukuhkan peranannya sebagai kuasa ekonomi global,” katanya.

Memandangkan sidang kemuncak ASEAN akan menumpukan kepada dasar perdagangan dan pelaburan, ESCAP berharap Malaysia akan memanfaatkan jawatan pengerusi untuk mendorong pembaharuan ekonomi yang berani, mengutamakan kemampanan, inklusif dan kerjasama serantau.

Alisjahbana mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia dari 17 hingga18 Feb, 2025.

Beliau bertemu Anwar selain Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi Datuk V Valluvan untuk membincangkan isu serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan