WILAYAH - SELATAN > BERITA

Melaka Berhasrat Jadi Tuan Rumah Pelancaran TMM 2026

21/02/2025 10:46 AM

MELAKA, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Melaka berhasrat menjadi tuan rumah bagi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), kata Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pelancaran TMM 2026 itu dilihat sesuai dianjurkan di Melaka memandangkan negeri itu merupakan tuan rumah bagi penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September ini.

"Sebagai tuan rumah WTD dan WTC 2025, kira-kira 155 menteri pelancongan dari seluruh dunia akan berada di Melaka sekali gus dapat membantu mempromosikan TMM 2026.

"Kita sudah memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk Melaka menjadi tuan rumah bagi majlis pelancaran TMM 2026 sewaktu persidangan berkenaan nanti," katanya kepada pemberita di Banda Hilir di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rapat Umum Bahtera Merdeka sempena sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata status Melaka sebagai negeri pelancongan yang dikenali pelancong dalam dan luar negara serta kejayaan menarik lebih 15 juta pelancong pada Tahun Melawat Melaka 2024 juga berupaya membantu pelancaran TMM 2026.

Beliau berkata dengan kejayaan Tahun Melewat Melaka 2024, kerajaan negeri memutuskan untuk melanjutkan usaha mempromosi sektor pelancongan negeri itu menerusi inisiatif tersebut hingga tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih 75,000 orang direkodkan berkunjung ke 13 destinasi pelancongan secara percuma sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu semalam.

"Sambutan yang diterima secara tidak langsung memberi semangat untuk kerajaan negeri lebih proaktif dalam memperhebatkan produk pelancongan di Melaka," katanya.

Terdahulu, pada Rapat Umum Bahtera Merdeka sempena sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan dipersembahkan kepada pengunjung dan pelancong di kawasan tumpuan berkenaan.

Turut diadakan perarakan yang melakonkan semula peristiwa 69 tahun lepas pengumuman tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada pada 20 Feb 1956.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan