JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) -- Polis membongkar taktik sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan barangan larangan itu dalam but kereta diubah suai dengan penahanan tiga individu di sekitar bandar raya ini, 13 Feb lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata dua lelaki serta wanita berusia 33 hingga 46 tahun yang dipercayai ahli sindiket terbabit ditahan menerusi empat serbuan manakala keseluruhan rampasan daripada mereka dianggar bernilai RM3.19 juta.
Beliau berkata dalam serbuan pertama di tempat letak kereta sebuah kondominium, polis merampas 4.12 kilogram (kg) dadah yang disembunyikan dalam ruangan but kereta jenis Hyundai yang diubah suai.
“Polis seterusnya menyerbu dua kondominium yang kedua-duanya berjarak kira-kira tujuh kilometer dan sebuah rumah teres. Satu daripada unit kondominium itu didapati dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah.
“Kesemua kediaman ini disewa dan polis sedang mengenal pasti pemiliknya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua dadah dirampas melibatkan 28.49 kg ketamin, syabu (10.36kg), ganja (4.9kg), serbuk ekstasi (2.59kg), pil erimin 5 (15,750), pil ekstasi (7,281 biji) serta serbuk methylenedioxy-methamphetamine (780 gram).
“Turut disita, wang tunai RM46,540 dan pelbagai barang kemas dianggar bernilai RM5,600,” katanya menambah sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lepas.
Kumar berkata ketiga-tiga individu itu positif terhadap dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta memiliki rekod lampau jenayah dan dadah.
Seorang daripada mereka juga, katanya dikehendaki polis bersabit kes pemerasan.
Kesemuanya kini direman hingga 27 Feb ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial