WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Organisasi Media Disaran Sediakan Pelan Transformasi AI - Fahmi

24/02/2025 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Setiap organisasi media di negara ini disaran menyediakan pelan transformasi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi masing-masing, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau bagaimanapun berkata mereka perlu berhati-hati ketika membuat pelaburan dalam teknologi tersebut supaya ia tidak memberi kesan kepada pekerja sedia ada.

“… saya tidak mahu keadaan yang menyaksikan ramai petugas dibuang kerja atau hilang pekerjaan. Saya juga ambil maklum ramai wartawan hari ini, mereka kadangkala terpaksa melakukan dua atau tiga kerja.

“Kalau sebelum ini satu kerja sahaja, tetapi sekarang ini dua atau tiga kerja. Mungkin dari segi itu (AI) boleh membantu mereka untuk meningkatkan keefisienan bagi memudahkan beberapa bentuk pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kursus ‘AI in the Newsroom’ anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), kursus pertama dalam siri program latihan berkaitan AI untuk profesional media.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, Editor Eksekutif (menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang) Perkhidmatan Berita Antarabangsa Mohd Shukri Ishak, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain dan Ketua Komersil Bernama Mastura Hassan.

Fahmi berkata pada masa yang sama setiap organisasi juga perlu membuat sedikit pelaburan untuk melantik Ketua Pegawai Keselamatan Informasi (CISO) bagi menjaga data yang dihasilkan oleh organisasi media.

“Jawatan ini sangat penting sebab kita telah pinda Akta Perlindungan Data Peribadi, dan kita tahu hari ini data, termasuk yang dihasilkan oleh syarikat media sangat berharga. Jadi kalau ada CISO, kita boleh jaga hasil itu dan kita boleh manfaatkan,” katanya.

Mengenai program hari ini, Fahmi berharap agar lebih banyak organisasi media dapat manfaatkan pengalaman pakar yang dijemput untuk memberi tunjuk ajar.

Beliau berkata pihaknya juga akan mendapatkan maklum balas daripada syarikat media dan wartawan tentang peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan untuk membantu mereka dalam mengharungi perubahan akibat kemunculan teknologi baharu itu.

“Sebelum ini kita banyak berbincang tentang kesan media sosial, tapi sekarang dengan adanya AI maka mungkin beberapa tugasan fungsi jawatan seperti editor, pereka grafik dan sebagainya (akan terkesan).

“… minggu lepas saya mengadakan pertemuan dengan sejumlah syarikat media yang terkesan, tetapi saya percaya ke depan lebih banyak dari segi perubahan itu akan kita saksikan di banyak organisasi media,” katanya.

Fahmi berkata dengan adanya program seumpama itu, syarikat organisasi media diharap dapat mengambil langkah untuk memahami serta mengambil kesempatan daripada perubahan itu, dan pada masa sama mencari peluang baharu untuk pekerja mereka menggunakan aplikasi baharu tersebut.

Beliau berkata program itu juga akan dilaksanakan di negeri lain supaya semua media di seluruh negara dapat mengambil peluang untuk menimba ilmu baharu itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan