SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kira-kira dua tahun lepas.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud membantah permohonan pihak pendakwaan agar mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Muhammad Sanusi.
“Apabila pihak pendakwaan telah menzahirkan niat untuk tidak meneruskan pertuduhan, ia bermaksud kes itu terhenti. Jadi sekiranya niat adalah untuk berhenti, maka saya mohon agar anak guam saya dilepaskan dan dibebaskan," kata peguam itu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi daripada Awang Armadajaya, dan setelah meneliti representasi itu, pihaknya tidak berhasrat meneruskan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi dan menarik balik pertuduhan.
Prosiding kes itu yang sepatutnya bermula hari ini.
Pada 10 Dis lepas, Hakim Aslam melepaskan dan membebaskan Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, terhadap satu pertuduhan menghasut yang berkaitan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut dan kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam 11 Julai 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial