WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aaliyah Sasar Podium Pada Kejohanan Luncur Air Universiti Dunia

24/02/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah berazam untuk memulakan musim 2025 dengan cemerlang, sekali gus memenangi pingat pada Kejohanan Universiti Dunia Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Auckland, New Zealand, Rabu ini.

Atlet berusia 21 tahun, yang tidak menyertai pertandingan selama lima bulan kerana komitmen pengajian di universiti dan menduduki peperiksaan tahun keduanya, optimis untuk menaiki podium di Orakei Basin, dekat pusat bandar Auckland.

Aaliyah berkata walaupun tidak menyertai kejohanan, dia tetap meneruskan latihan di pangkalan latihannya di Florida Southern College, tempat dia melanjutkan pengajian.

“Saya menjalani latihan dengan baik walaupun kurang menyertai pertandingan. Saya rasa bersemangat dan tidak sabar untuk menyertai pertandingan yang disertai 78 atlet dari 18 negara.

“Sasaran saya ialah menaiki podium dalam acara jump, tricks dan keseluruhan. Jika saya berjaya menaiki podium dalam mana-mana acara ini, ia akan menjadi pencapaian yang manis,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF).

Kali terakhir Aaliyah memenangi pingat pada kejohanan dunia adalah Sukan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat, dengan menggondol pingat gangsa dalam acara tricks wanita dan Kejohanan Bawah 21 Tahun Dunia 2023 di Chapala, Mexico apabila meraih gangsa dalam acara jump wanita.

Catatan peribadi terbaik (PB) semasanya adalah 8,450 mata dalam acara tricks iaitu rekod Asia, manakala PB bagi acara jump dan slalom masing-masing 48.3m dan 4.5/12/55.

Sementara itu, ketua jurulatih negara Hanifah Yoong berkata 2025 akan menjadi tahun penting bagi para atlet negara kerana sukan itu akan dipertandingkan semula di Sukan SEA di Thailand pada Disember serta edisi 2027 di Malaysia.

“MWWF telah mencadangkan program latihan dan pertandingan yang komprehensif sebagai persiapan atlet negara bagi kedua-dua Sukan SEA ini.

“Kami hanya menyenaraikan Aaliyah pada Kejohanan Universiti Dunia, tetapi akan menghantar lebih ramai atlet ke Kejohanan Asia yang akan berlangsung di Bangkok pada Jun serta Kejohanan Dunia yang dijadualkan pada Ogos di Recetto, Itali tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan