WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penolong Jurutera Kanan Didakwa Terima RM270,400 Berkaitan Kerja Rasminya

25/02/2025 03:43 PM

KUANTAN, 25 Feb (Bernama) -- Seorang penolong jurutera kanan di sebuah agensi kerajaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 48 pertuduhan menerima wang berjumlah RM270,400 yang berkaitan dengan kerja rasminya pada 2019 sehingga 2022.

Pertuduhan terhadap Mohd Farisyal Mohd Alias, 46, dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Dia yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Jurutera (Awam) JA36 di Bahagian Jalan, Jabatan Kerja Raya Daerah Raub, Pahang, didakwa menerima antara RM500 hingga RM25,000 pada Sept 2019 sehingga Disember 2022 yang dimasukkan secara dalam talian ke dalam akaun bank miliknya oleh seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ezuain Farhana Ahmad manakala Mohd Farisyal diwakili peguam Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali.

Ezuain Farhana menawarkan jaminan RM40,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. 

Mohd Falihin Kamil memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya yang kini bertugas di sebuah agensi kerajaan tidak pernah berhadapan sebarang tindakan tatatertib, penanggung tunggal keluarga yang menyara tiga anak yang masih bersekolah serta perlu mendapatkan rawatan berkala penyakit aritmia berkaitan dengan jantung.

Mahkamah membenarkan Mohd Farisyal diikat jamin RM28,000 atas kesemua 48 pertuduhan dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan