WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Menerajui Usaha Pengeluaran Minyak Sawit Yang Mampan– Johari

25/02/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, mesti menerajui usaha kemampanan dan mengambil langkah berani untuk menjuarai usaha mengeluarkan minyak sawit yang mampan, terutama ketika dunia semakin memberi tumpuan kepada tanggungjawab alam sekitar.

Justeru, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani menekankan mengenai kepentingan pematuhan seluruh industri terhadap kemampanan, terutama dalam kalangan sektor swasta dan pekebun kecil.

“Industri minyak sawit di negara ini merangkumi kawasan seluas 5.7 juta hektar terbahagi kepada dua segmen, iaitu sektor swasta (4.2 hektar) dan pekebun kecil (1.5 hektar).

“Ia merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara, tetapi ketika dunia bergerak menuju kepada kemampanan, kita perlu mengambil langkah berani,” katanya pada sidang media selepas merasmikan “36th Palm and Lauric Oils Price Outlook Conference and Exhibition 2025” di sini hari ini.

Beliau turut mengesahkan komitmen Malaysia untuk menghalang aktiviti penebangan hutan secara berterusan untuk penanaman kelapa sawit.

“Pada masa lalu, orang ramai boleh memohon untuk membersihkan hutan bagi membuka ladang kelapa sawit.

“Namun, kini ada peraturan antarabangsa, termasuk Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang perlu dipatuhi oleh semua pengeluar minyak sawit.

“Ini bermakna jika mereka percaya minyak sawit itu diperoleh daripada kawasan yang baharu ditebang, anda mungkin tidak boleh mengeksportnya,” katanya.

Malaysia telah menetapkan sasaran kemampanan yang tinggi dan menandatangani pelbagai perjanjian antarabangsa.

Ia termasuk bagi mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 (Rancangan Malaysia Ke-12), mengurangkan keamatan karbon berbanding keluaran dalam negara kasar sebanyak 45 peratus menjelang 2030 (COP21 Paris), mengurangkan pelepasan metana sebanyak 30 peratus menjelang 2030 (COP26 Glasgow) dan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus perlindungan hutan (Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992).

“Saya sentiasa mengingatkan pemain industri bahawa fokus kita sepatutnya kepada peningkatan hasil dan bukannya meluaskan penggunaan tanah.

“Itu sebabnya dalam ucapan, saya menekankan bahawa kita mesti menjadi sebuah negara yang menerajui usaha kemampanan. 

“Sebaik sahaja kita berjaya melakukannya dengan betul, segala-galanya akan tercapai,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan